Pengadil dari Malaysia nampaknya terus mencipta momentum yang sangat positif ketika ini di pentas antarabangsa, dengan terbaharu Muhammad Nazmi Nasaruddin antara calon diletakkan sebagai pengadil utama Piala Dunia 2026.
Ianya dilaporkan sendiri secara rasmi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menyatakan Nazmi kini diletakkan sebagai salah satu calon selaku pengadil utama Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico, serta Kanada bermula 11 Jun sehingga 19 Julai 2026.
Untuk rekod, Nazmi telah memulakan karier beliau pada tahun 2010 dan menjadi pengadil pertama dari Malaysia yang menggunakan sistem Video Assistant Referee (VAR) ketika mengadili perlawanan AFC Champions League (ACL) ketika perlawanan membabitkan Buriram United menentang Zhejiang FC pada 20 Oktober 2023 di Thailand.
“Sepanjang tahun 2023 juga, Nazmi bersama dua pembantunya iaitu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid telah mengadili enam perlawanan AFC Champions League yang mengunakan VAR,” jelas kenyataan tersebut.
Rekod tahun lalu juga menyaksikan Nazmi turut dijemput beberapa kali untuk mengadili perlawanan dalam saingan Liga Arab Saudi dengan sangat menyakinkan.
Nazmi juga diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai pengadil VAR pertama di Malaysia selepas beliau mendapatkan lesen tersebut pada bulan Ogos 2023.
“Selaras dengan penetapan syarat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mana semua pengadil yang dilantik untuk perlawanan tertinggi AFC dan FIFA wajib memiliki lesen VAR, maka FAM telah memulakan usaha untuk memperoleh lesen pengadil VAR melalui program pintas latihan VAR.
“Hubungan akrab di antara Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al-Misehal telah membuka ruang buat Nazmi untuk dihantar ke Arab Saudi bagi mendapatkan Lesen VAR dan pada Ogos 2023, Nazmi telah diiktiraf oleh FIFA sebagai pengadil VAR pertama di Malaysia,” tambah kenyataan itu.
Menerusi kelayakan tersebut serta konsistensi Nazmi ketika mengadili saingan Piala Asia B-20 di Uzbekistan pada tahun lalu, nama beliau terus terpilih bersama dua lagi pengadil Malaysia untuk menyertai kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar.
Sejarah tercipta apabila Nazmi bersama dua pembantunya dipilih bagi mengadili perlawanan membabitkan antara Iraq dan Vietnam, serta aksi pusingan 16 terbaik, Uzbekistan menentang Thailand.
“Prestasi cemerlang Nazmi dan dua pembantunya telah mendapat pengiktirafan daripada FIFA dan AFC, yang mana ia membolehkan Nazmi dipilih secara merit sebagai ‘FIFA World Cup Candidate 2026’.
“Nazmi telah dipilih untuk menyertai Kursus ‘FIFA World Cup Candidate 2026’ yang bakal diadakan bermula 25 hingga 29 Februari 2024 di Qatar.
“Nazmi juga akan terus diuji melalui beberapa siri kursus anjuran FIFA dan AFC, termasuk perlawanan-perlawanan anjuran FIFA dan AFC sebagai syarat pemilihan secara merit ke Piala Dunia 2026.
“FAM akan terus memberi segala bantuan dan sokongan dari aspek perancangan latihan serta bantuan kepakaran ilmu pengadil kepada trio negara ini agar misi meletakan Nazmi sebagai pengadil utama dan pertama dari Malaysia di Piala Dunia, kejohanan bola sepak dunia yang berprestij tinggi akan tercapai.
“Datuk Haji Hamidin selaku Presiden FAM sangat komited dalam usaha ini yang mana sebelum ini tidak pernah ada mana-mana pengadil dari negara ini dipilh sebagai pengadil utama di Piala Dunia,” kata kenyataan itu akhir sekali.