Indonesia kini berpeluang untuk melayakkan diri mereka ke pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023 jika pasukan itu mencatat keputusan positif pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D.
Terdahulu, Indonesia sebenarnya langsung tidak dianggap sebagai salah satu pasukan mempunyai harapan untuk mara lebih jauh pada saingan tersebut jika dilihat pada beberapa aksi mereka sebelum Piala Asia bermula.
Namun, segalanya tampak positif sejak awal perlawanan mereka ketika mencatat kekalahan 1-3 bersama aksi cukup menyakinkan walaupun tewas.
Kemuncak siri kebangkitan Indonesia dapat dilihat ketika mereka berjaya membenam salah satu kuasa besar Asia Tenggara iaitu Vietnam pada aksi kedua menerusi keputusan 1-0.
Hasil kutipan 3 mata ketika ini menyaksikan mereka berjaya menduduki di tangga ketiga dan masih berpeluang untuk cuba melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Lawan terakhir mereka selepas ini menyaksikan anak-anak buah Shin Tae-yong bakal menghadapi cabaran Jepun yang dianggap cukup getir buat Sang Garuda.
Daripada segi jurang prestasi, kualiti pemain, serta ranking segala-galanya memihak kepada Jepun jika dibandingkan oleh Indonesia di atas padang.
Namun, pasukan tersebut sebenarnya mampu mencipta kejutan jika segala pelan serta keadaan pemain tampil dengan sangat positif untuk berdepan cabaran lawan.
Beberapa pemerhati bola sepak Indonesia tampil memberi pandangan beliau mengenai apa perlu dilakukan pasukan tersebut untuk menghadapi Jepun pada hari perlawanan.
“Posisi pertahanan kiri Indonesia begitu mudah diatasi pasukan lawan kerana Pratama Arhan lemah daripada segi kekuatan fizikal serta lambat membuat sebarang keputusan, rombakan perlu dibuat,” jelas Agus Yuwono menerusi Bola.com.
Agus juta turut mencadangkan supaya pemain warisan mereka iaitu Shayne Pattynama memiliki kesesuaian untuk beraksi di posisi pertahanan kiri Indonesia.
“Walaupun Shayne lewat menyertai kem kebangsaan, malah keadaan semasa pemain tersebut juga hanya jurulatih sahaja tahu jika layak untuk beraksi atau tidak, tetapi daripada segi fizikal dan mental Shayne merupakan pilihan terbaik,” jelas beliau.
Pada masa sama, Budiarjo Thalib juga tampil memberi pandangan posisi tengah harus diberi keutamaan Indonesia untuk mengelak penguasaan penuh menjadi milik lawan.
“Indonesia juga memiliki rantaian pemain tengah yang bagus untuk dibawa turun pada perlawanan tersebut, terserah kepada Shin sendiri untuk memilih pemain bersesuaian menghadapi Jepun.
“Saya amati serangan Jepun sangat kreatif dan bermula dari bahagian tengah, setelah menguasai bola mereka mudah mencorakkan serangan terus ke pemain sayap untuk mencipta ancaman berbahaya,” ujarnya.