Pengendali kebangsaan, Kim Pan-gon tampil begitu gembira selepas Malaysia berjaya mengikat Syria menerusi keputusan penuh 2-2 pada aksi persahabatan terakhir, sebelum mereka menghadapi saingan Piala Asia 2023.
Malaysia yang hanya mengharungi satu aksi persahabatan secara tertutup itu tampak begitu menyakinkan sebelum mereka berdepan Jordan pada aksi pertama peringkat Kumpulan E nanti.
Pada aksi bertemu Syria, Malaysia berjaya mendapatkan gol pendahuluan menerusi bintang muda Arif Aiman Hanapi pada separuh masa pertama sebelum lawan mendapatkan dua jaringan di separuh masa kedua.
Malaysia kembali bangkit menyamai kedudukan mereka pada penghujung separuh masa kedua menerusi pemain naturalisasi mereka iaitu Paulo Josue sekali gus mendapatkan keputusan seri pada aksi tersebut.
“Ianya merupakan satu permulaan yang bagus bila kita mampu menghadapi lawan di ranking ke-91 dunia dan saya sangat gembira dengan prestasi ditampilkan pemain terutama di separuh masa pertama.
“Pada aksi ini kami memberi setiap pemain peluang beraksi dengan banyak pertukaran dibuat dan ianya tak mudah pada aksi separuh masa kedua selepas beberapa perubahan dibuat.
“Ianya bukan suatu perlawanan mudah tetapi saya gembira kerana kami berjaya untuk mendapatkan gol pada minit akhir untuk mengubah kepada keputusan penuh 2-2.
“Dan paling penting kami mendominasi permainan pada penghujung perlawanan ketika berdepan lawan yang berada di kedudukan ranking 91.
“Jadi pada aksi ini setiap pemain sepatutnya mendapat lebih banyak keyakinan sebelum kami bertemu Jordan,” jelas pengendali tersebut menerusi perkongsian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Youtube.
Tampil bermotivasi pada perlawanan tersebut, sudah tentu para pemain kini tampil dengan lebih berkeyakinan untuk menghadapi aksi sulung mereka pada 15 Januari ini menentang Jordan.
Selain Jordan, Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan E bakal menghadapi dua lagi pasukan lawan iaitu Bahrain serta akhir sekali Korea Selatan.
Pastinya ini memberi cabaran cukup getir buat pengendali tersebut yang ingin memberikan segalanya terbaik buat keputusan dicatat oleh Harimau Malaya di Qatar.
Walaupun begitu, Kim juga pastinya sudah mempunyai rencana tersendiri untuk mengelakkan Malaysia menjadi pasukan belasahan serta mampu mencipta kejutan tersendiri dalam saingan tersebut.