Bekas penyerang berbisa Malaysia, Safee Sali menasihatkan kepada para pemain Harimau Malaya supaya tidak sesekali gentar akan pasukan lawan dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar.
Atas kertas, Malaysia mungkin bukan merupakan negara pilihan dalam saingan Piala Asia kerana langsung tidak dibarisi pemain-pemain bintang ternama.
Berbanding lawan seperti Korea Selatan yang menampilkan ramai pemain bintang mereka seperti Son Heung-min, Hwang Hee-chan, Kim Min-jae dan ramai lagi dalam saingan kali ini.
Apapun, Safee menganggap semua pemain sebenarnya sama sahaja dan hanya dibezakan oleh corak permainan serta kesungguhan di atas padang.
Jelas pemain tersebut, Malaysia sebenarnya tidak perlu merasa bimbang diletakkan dalam Kumpulan E walaupun terpaksa berhadapan lawan kuat seperti Jordan, Bahrain, serta Korea Selatan.
Malah, para pemain negara perlu mengambilnya sebagai suatu cabaran terbaik untuk cuba mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan dihadapi.
Pada masa sama, Safee turut memuji Arif Aiman sebagai salah satu bintang tumpuan dalam saingan Piala Asia untuk edisi kali ini di Qatar.
“Kita harus berbangga, walaupun pasukan lain mempunyai bintang yang beraksi di Eropah namun pemain seperti Arif Aiman Hanapi tetap menjadi perhatian di kejohanan Piala Asia.
“Mereka hanya perlu yakin dengan kebolehan mereka sendiri, bermain sebagai satu pasukan kerana apabila anda yakin dengan kebolehan sendiri maka tidak sepatutnya timbul isu.
“Kamu boleh mengalahkan sesiapa sahaja jika percaya kepada diri,” kata Safee menerusi laporan telah dikeluarkan sendiri oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Safee juga tidak menolak peluang untuk Malaysia melangkah ke peringkat 16 terbaik bagi saingan tersebut jika dilihat pada kemampuan semasa skuad kendalian Pan-gon.
“Jika lepas ke pusingan 16 terbaik, ia adalah bonus untuk mereka. Sebagai peminat dan penganalisis bola sepak, saya hanya mahu melihat mereka pergi sejauh mungkin.
“Walaupun, hakikatnya sukar untuk melangkah lebih jauh namun pada saingan Piala Asia ini segalanya boleh berlaku,” katanya akhir sekali.
Menerusi gandingan antara pemain tempatan, warisan, serta naturalisasi, Malaysia jelas mempunyai kekuatan tersendiri pada saingan kali ini untuk memberi cabaran getir buat pasukan lain.