Penyerang berbisa Selangor, Ayron Del Valle kini menjadi antara paling mencuri tumpuan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), selepas beliau mengesahkan diri untuk Anugerah Kasut Emas bagi saingan Liga Super 2023.
Ayron yang menyertai Selangor pada musim ini jelas tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi antara penyerang paling berbahaya bagi saingan domestik menerusi ketajamannya.
Walaupun sudah berusia 34 tahun, ianya tidak menghalang buat penyerang dari Colombia ini untuk membuktikan dirinya selaku salah seorang penggempur berbisa bagi mengatasi para pemain lain.
Musim ini menyaksikan Ayron sudah pun meledak 23 gol secara keseluruhan hanya untuk saingan Liga Super selain turut merekodkan tiga jaringan dalam aksi Piala Malaysia 2023.
Tatkala Ayron dilihat mungkin akan kekal bersama Selangor, muncul perkhabaran baharu mengenai pemain tersebut kini diintai banyak kelab termasuk di luar negara.
Menerusi laporan dikeluarkan oleh Sukanz, Ayron kini mendapat perhatian beberapa kelab di Colombia, Mexico, serta Amerika Syarikat selain pernah dikaitkan dengan pasukan dari Timur Tengah.
Pengesahan ini dibuat sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon mengenai situasi dihadapi oleh Ayron untuk persaingan musim hadapan.
The Red Giants yang mengesahkan diri untuk ke pentas Asia musim hadapan pastinya turut tidak mahu kehilangan pemain ini yang sudah pun memberikan impak cukup besar di posisi serangan mereka.
Namun, ianya terpulang kepada Ayron sendiri untuk menentukan hala tuju beliaub pada masa akan datang selepas melihat kepada tawaran yang mampu menarik minat penyerang itu sendiri.
“Tahniah kepada Ayron kerana mendapat (Anugerah) Kasut Emas untuk tahun pertamanya di Malaysia, bukan satu perkara yang mudah untuk dibuat oleh mana-mana pemain asing, satu pencapaian yang sangat baik untuk beliau, kita bergembira dengan pencapaian ini.
“Sudah tentu Ayron merupakan pemain yang penting untuk kami.
“Kita sedang berbincang dengan beliau, tetapi pemain macam dia memang ada banyak tawaran dan minat daripada kelab-kelab luar.
“Saya difahamkan ada kelab dari Mexico, US (Amerika Syarikat) dan Colombia juga berminat untuk mendapatkan khidmat beliau.
“Jadi, kita kena berbincang dengan lebih lanjut macam mana perancangan untuk tahun depan, tengoklah macam mana, tetapi dia merupakan pemain yang berkualiti tinggi dan sudah tentu Selangor berminat untuk mengadakan perbincangan dengan beliau, kita akan lihat nanti,” katanya menerusi perkongsian dibuat oleh Sukanz.
Pada pandangan anda, adakah Ayron akan kekal bersama Selangor untuk mengharungi aksi di pentas Asia musim hadapan, atau terus berkelana bersama kelab baharu?