Juara Challenge Cup 2023, PDRM dilihat berpeluang untuk membantu Kelantan mencipta rekod terbaharu Kelantan yang jelas pada musim ini tampil dengan aksi begitu mendukacitakan.
PDRM bakal menghadapi aksi Liga Super 2023 seterusnya pada 10 Disember ini dengan perlawanan seterusnya membabitkan pasukan tersebut menentang Kelantan di laman sendiri untuk mendapatkan tiga mata seterusnya.
Beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), ‘The Cops’ dianggap memiliki peluang cukup cerah untuk memastikan tiga mata seterusnya berada dalam genggaman mereka.
Apa lebih menarik, skuad kendalian Dato’ Yunus Alif juga berpeluang untuk membantu Kelantan mencipta rekod dibolosi 110 gol musim ini, dengan dua jaringan sahaja diperlukan pasukan tersebut untuk aksi akan datang.
Musim ini jelas menjadi sesuatu yang sangat memalukan buat The Red Warriors (TRW), selepas pasukan tersebut tampil dengan pelbagai masalah sejak awal perjalanan Liga Malaysia (Liga M).
Walaupun tahun lalu menjadi saksi kebangkitan mereka dalam persaingan Liga Premier 2022, momentum tersebut gagal untuk dipertahankan dengan lebih baik selepas kini mereka menjadi antara pasukan paling malang pada musim 2023.
Ketika ini, Kelantan telah pun mencipta rekod dalam saingan Liga Super selepas mereka telah pun dibolosi sebanyak 108 jaringan daripada 24 perlawanan dihadapi.
Jika dilihat pada reputasi semasa lawan mereka bakal hadapi iaitu PDRM, jelas Kelantan bakal menghadapi satu lagi masalah besar untuk mengekang momentum serangan pasukan tersebut.
Apa tidaknya, pasukan tersebut kini masih segar dengan kejayaan mereka untuk muncul selaku juara bagi saingan Challenge Cup selepas mereka menewaskan Kuching City menerusi keputusan agregat 4-1.
Empat jaringan diraih pasukan tersebut dalam dua perlawanan memberi isyarat betapa ampuhnya posisi serangan mereka kini yang ditunjangi oleh bintang import, Uche Agba.
Agba yang muncul selaku penjaring terbanyak saingan Challenge Cup telah pun merekodkan lima jaringan secara keseluruhan untuk mengetepikan cabaran penyerang berbisa Kuching City, Abu Kamara.
Sudah tentu penyerang tersebut sekali lagi bakal memperkuatkan kesebelasan utama PDRM bagi perlawanan tersebut dalam usaha mereka untuk terus mendapatkan tiga mata penuh.
Apapun, Kelantan jelas perlu lebih berhati-hati daripada segi pertahanan mereka untuk cuba tidak dibolosi dengan jumlah jaringan besar ketika berdepan cabaran PDRM.