Penyerang import Kelantan United, Ismaheel Akinade antara yang bakal mencuri tumpuan untuk aksi separuh akhir kedua Challenge Cup 2023 membabitkan pasukan tersebut bertemu Kuching City.
Terdahulu, kedua pasukan tersebut saling terikat menerusi keputusan 1-1 ketika separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak selepas masing-masing seimbang daripada segi penguasaan bola.
Untuk aksi malam ini, kelebihan jelas dilihat terarah kepada Kelantan United yang bakal beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Sultan Muhammad ke-IV bersama momentum terbaik selepas hanya mencatat kekalahan tipis kepada JDT minggu lalu.
Walaupun mencatat kekalahan, Kelantan United jelas tampil dengan corak permainan menyakinkan dan berjaya memberi kesukaran buat JDT untuk menguasai keseluruhan perlawanan serta mendapatkan gol.
Antara pemain paling mencuri tumpuan pada perlawanan itu terarah kepada Akinade yang dianggap akan meneruskan momentum positif beliau bagi saingan separuh akhir kedua Challenge Cup malam ini.
Beraksi di posisi serangan utama, Akinade bukan sahaja hanya menumpukan tugas untuk menghasilkan jaringan, sebaliknya beliau juga antara sangat lincah untuk menghuru harakan pertahanan lawan.
Selain itu, Akinade juga memiliki kekuatan fizikal dengan cukup baik serta berkebolehan untuk mencabar perebutan bola di udara menerusi situasi sepakan percuma.
Kelibat Akinade pastinya akan terus digunakan oleh Ailton dos Santos Silva pada perlawanan malam ini untuk membentuk gandingan bersama OJ Porteria bagi memburu jaringan sulung di laman sendiri.
Dominik Balic (Kelantan United)
Pertahanan kental dari Croatia ini tidak menunggu masa yang lama untuk memberi impak positif buat pasukan sejak penyertaan beliau pada pertengahan musim lalu.
Kelebihan Balic dari segi bacaan bola beliau yang tepat untuk menghentikan serangan lawan secara individu jarang mengecewakan selain faktor kekuatan fizikal beliau yang sangat berkualiti di posisi pertahanan tengah.
Selain cemerlang di posisi pertahanan, pemain berusia 27 tahun ini turut mempunyai kelebihan untuk melepaskan rembatan tepat ke arah gawang gol dan sudah dibuktikan sejak beberapa perlawanan lepas.
Tugas sukar buat Kuching City malam ini adalah untuk cuba melepasi kawalan beliau di posisi pertahanan serta berjaga-jaga akan kelibat Balic sekiranya pertahanan ini membantu serangan.
Abu Kamara (Kuching City)
Sandaran utama Kuching City pada musim ini pastinya akan menjadi pertaruhan penting buat Aidil Sharin Sahak yang berharap supaya Kamara dapat menyerlahkan ketajaman beliau untuk memburu gol penting kepada pasukan.
Menjadi salah seorang pemain paling berbisa musim ini dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), sudah tentu kawalan ketat akan diberikan oleh pertahanan lawan bagi menghentikan momentum penyerang ini.
Namun, Kamara juga terkenal dengan kelicikan beliau untuk mengatasi pertahanan lawan serta boleh dianggap sangat kreatif di posisi hadapan untuk mendapatkan gol.