Esteban Solari: “Kami Akan Turun Habis-Habisan”

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Esteban Solari menyatakan skuad kendaliannya bakal beraksi secara berhabis-habisan untuk memastikan keputusan positif dapat dilakar ketika bertemu Kawasaki Frontale.

JDT selaku calon tunggal Malaysia bakal memulakan kempen pertama mereka hari ini untuk aksi peringkat Kumpulan I bagi kejohanan AFC Champions League (ACL) 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Beraksi di laman sendiri, pastinya Harimau Selatan ingin memanfaatkan peluang sebaik mungkin untuk memastikan keputusan positif mampu dilakar mereka, terutama sekali di hadapan ribuan penyokong setia JDT yang sudah tentu akan memberi sorakan padu buat kelab tersebut.

Walaupun begitu, kelab gergasi Malaysia ini juga bakal menghadapi cabaran besar kerana bakal memulakan kempen tersebut untuk menghadapi salah satu pasukan ternama di Asia iaitu Kawasaki Frontale.

Reputasi pasukan tersebut jelas tidak perlu diperkatakan lagi, malah JDT sudah pun menjadi mangsa pada aksi ACL musim lalu menerusi kekalahan besar 0-5 di gelanggang sendiri.

Walaupun begitu, JDT berjaya membuktikan mereka bukan pasukan belasahan selepas perlawanan sulung mereka berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Pastinya musim ini skuad kendalian Solari mahu tampil dengan lebih baik atau mencipta kejutan menerusi siri kemenangan pertama kali ke atas gergasi dari Jepun tersebut di hadapan penyokong mereka sendiri.

Malah, Solari juga menyifatkan aksi malam esok sebagai sesuatu yang sangat mencabar buat beliau, namun masih mampu untuk mereka memberi cabaran sengit sepanjang tempoh 90 minit permainan berlangsung.

Kata pengendali berpengalaman tersebut, saingan ACL jelas sesuatu yang berbeza jika dibandingkan aksi peringkat domestik dengan perubahan pastinya dapat dirasai pada corak permainan serta intensiti perlawanan itu sendiri kepada para pemainnya.

Walaupun begitu, segala persiapan yang dilakukan beliau bersama pasukan setakat ini berjalan dengan sangat lancar selain dua tonggak serangan JDT sebelum ini dihantui isu kecederaan sudah pulih iaitu Fernando Forestieri serta Diogo Luis Santo.

“Forestieri baru mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan sejak tiga hari lalu manakala Diogo sudah 10 hari menjalani latihan tapi saya perlu lihat tahap kecergasan mereka dahulu sebelum membuat keputusan sama ada menyenarai mereka dalam kesebelasan utama.

“Tidak dinafikan kelab dari Jepun itu sebuah kelab yang kuat kerana mereka bersaing di liga yang cukup kompetitif dan berkualiti selain jurulatih mereka (Toru Oniki) sudah enam tahun membimbing Kawasaki Frontale dan mereka dilihat sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan I.

“Apapun kami akan sahut cabaran untuk beri saingan dan berusaha untuk tingkatkan lagi kualiti permainan kerana ia berbeza apabila beraksi di pentas liga domestik dan saingan bertaraf Asia dan pastinya intensiti permainan juga harus lebih tinggi dan sentiasa beri tentangan kepada pasukan lawan,” kata pengendali tersebut menerusi Harian Metro.

Solari juga menyifatkan aksi malam ini dijangka berlangsung sangat sengit kerana pengendali tersebut menyatakan mereka bakal bermain dengan corak permainan terbuka kerana ingin memburu tiga mata pertama.

Berada dalam Kumpulan I, JDT bukan sahaja bakal berdepan Kawasaki Frontale malah dua lagi pasukan iaitu BG Phatum dari Thailand serta wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN