Pemain serangan naturalisasi negara, Paulo Josue antara yang mendapat perhatian meluas dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, selepas nama beliau sekali lagi disenaraikan oleh Kim Pan-gon bagi aksi persahabatan seterusnya di Chengdu, China.
Apa tidaknya, Josue tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan mengapa beliau sangat diperlukan Harimau Malaya untuk memperkasakan posisi hadapan menerusi ketajaman dimiliki pemain tersebut.
Josue sebelum itu telah pun meledak empat jaringan ketika bertemu Kepulauan Solomon serta Papua New Guinea dengan hatrik pertama direkodkan pada tahun pertama mewakili negara.
Paulo Josue Intai Peluang Ledak Gol Berdepan Papua New Guinea
Malah, pemain tonggak Kuala Lumpur City (KL City) ini juga sedang menunjukkan momentum terbaik dalam aksi domestik dan pastinya diharapkan mampu memberi sumbangan besar untuk Malaysia berdepan cabaran Syria serta China.
Menurut Josue, jurang perbezaan antara ranking kedua negara tersebut yang sangat ketara itu juga bukan penghalang buat barisan pemain Harimau Malaya untuk cuba membuktikan sesuatu lebih positif serta memberi kegembiraan buat para penyokong.
“Ini adalah bola sepak di mana pasukan yang berada pada ranking lebih bawah boleh menewaskan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi. Kita sudah bersedia sepenuhnya untuk memberi cabaran kepada Syria.
“Saya lihat kita memiliki segala-galanya untuk memberikan perlawanan yang terbaik. Semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan sudah memahami corak permainan serta falsafah yang diinginkan barisan kejurulatihan.
“Ini satu pilihan yang tepat menentang pasukan di ranking lebih tinggi kerana kita tahu aksi pada Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dan Piala Asia 2023 juga tidak mudah. Kita perlu ambil cabaran ini,” katanya menerusi laporan daripada Harian Metro.
Selain Josue, dua lagi pemain naturalisasi yang turut dipanggil Kim untuk memperkuatkan skuad kebangsaan kali ini tonggak utama Sri Pahang iaitu Sergio Aguero serta Endrick do Santos dari Johor Darul Ta’zim.
Pada masa sama, Josue juga mengakui ada tekanan yang berbeza dirasai pasukan negara kali ini kerana persiapan lebih rapi diperlukan mereka untuk menghadapi aksi getir bertemu Syria serta China.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | Selasa, 20 Jun 2023
MALAYSIA 🇲🇾 10-0 🇵🇬 PAPUA NEW GUINEA
⚽️ Safawi Rasid 45'+4 (P) Paulo Josue 52' 64' 70' Arif Aiman Hanapi 57' 60' 87' 89' Faisal Halim 59' Daniel Ting 76'#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/TaVvxlcP0o
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 20, 2023
“Sedikit tekanan buat saya apabila kembali ke kem latihan pusat tetapi semuanya berjalan dengan baik. Sudah tentu saya mahu meledak banyak gol tetapi menentang pasukan yang kuat, saya tidak jangka banyak gol akan disaksikan.
“Siapa pun yang bermain nanti, mereka perlu berikan yang terbaik kerana mereka adalah pemain terbaik dalam negara ketika ini.
“Saya tidak kisah untuk lakukan apa sahaja untuk membantu pasukan dan jika ada peluang menjaringkan gol, saya akan cuba lakukannya,” katanya akhir sekali.