Penyerang import baharu Selangor, Richmond Boakye Yiadom setakat ini dilihat masih kurang menyerlah bersama pasukan baharu diwakilinya itu selepas mengharungi empat perlawanan dalam saingan Liga Super.
Hadir dengan reputasi yang tinggi dari Eropah, Boakye dianggap sebagai salah satu pemain import paling mencuri tumpuan musim ini dalam kalangan penyokong tempatan.
Richmond Boakye telah dikeluarkan awal semasa menentang JDT setelah mengalami kecederaan kepala, ‘cerebral concussion’. Mengikut prosedur perubatan kecederaan ini, pemain terlibat hendaklah dikeluarkan dari perlawanan serta-merta bagi pemantauan, pemeriksaan & rawatan lanjut. pic.twitter.com/JTV1pbzHLE
— Selangor FC (@selangorfc) July 30, 2023
Walaupun begitu, impak ditinggalkan beliau untuk posisi serangan utama Selangor masih belum dianggap sangat positif walaupun sudah membuka akaun jaringan bersama The Red Giants.
Setakat empat perlawanan dihadapi oleh Boakye, beliau telah pun bermula dalam senarai kesebelasan utama sebanyak dua kali termasuk aksi terbaharu ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Daripada empat aksi tersebut, Boakye hanya meledak satu gol bersama satu bantuan jaringan sahaja ketika mereka menewaskan Penang dengan keputusan penuh 3-0.
Walaupun bermula dalam kesebelasan utama ketika bertemu JDT, Boakye terpaksa dikeluarkan lebih awal pada minit ke-17 selepas beliau mengalami kecederaan sebelum itu hasil perlanggaran bersama penjaga gol Selangor, Sam Somerville dan telah pun dijelaskan secara rasmi oleh pihak pengurusan The Red Giants.
Sepanjang 17 minit berada di atas padang, Boakye gagal untuk memberi impak buat serangan Selangor walaupun kelab tersebut memiliki beberapa peluang untuk mengatasi JDT.
Bergandingan bersama Ayron Del Valle di posisi utama serangan Selangor, pasukan tersebut jelas memiliki kesukaran untuk mencipta peluang berbahaya dengan Boakye dilihat masih belum menyesuaikan diri dengan sepenuhnya untuk memahami corak permainan diterapkan oleh Tan Cheng Hoe.
Jika dibuat perbezaan antara penglibatan Boakye dan Ayron di posisi utama serangan, jelas pemain kelahiran Ghana itu masih lagi mencari-cari rentak sebenar untuk memahami kehendak diinginkan Cheng Hoe di atas padang.
Jika Boakye masih gagal untuk mendapatkan rentak sebenarnya, pemain ini bakal menghadapi masalah kerana Selangor masih lagi mempunyai seorang penyerang import yang menunggu masa sahaja untuk dibawa turun beraksi iaitu Rauf Salifu.
Boakye displayed his striker's instinct last night after being put through on goal by Orozco with a cool first-time finish to open his goal-scoring account. 🫶🏽#MKLK#KitaSelangor#LigaSuper2023#LigaMalaysia2023 pic.twitter.com/aOUxHocltw
— Selangor FC (@selangorfc) July 16, 2023
Bekas penyerang kebangsaan Ghana ini tidak boleh mengambil masa lebih lama, kerana persaingan Liga Super adalah singkat dan Selangor memiliki sasaran tersendiri untuk melayakkan diri ke saingan Asia musim hadapan.
Apapun, Boakye masih lagi memiliki peluang untuk membuktikan kepada semua beliau merupakan penyerang berbaloi ditandatangani oleh Selangor musim ini untuk aksi akan datang.
Selangor bakal membuat perhitungan seterusnya untuk aksi pertama Piala Malaysia 2023 bertemu PDRM, dan ini menjadi peluang seterusnya untuk Boakye memadam kritikan ramai di media sosial yang beliau merupakan salah satu penyerang terbaik pernah dimiliki The Red Giants.