Pengendali bola sepak berpengalaman, Bojan Hodak dilaporkan tidak akan lagi menerajui Kuala Lumpur City (KL City) bagi baki saingan Liga Super 2023, selepas satu sesi sidang media telah dibuat.
Kenyataan itu dikeluarkan menerusi wartawan Astro Arena di Twitter iaitu Zulhelmi Zainal Azam dengan menyatakan pengendali dari Croatia itu mengundur diri selepas tiga musim mengetuai kejurulatihan KL City.
EXCL: Bojan Hodak letak jawatan. Jurulatih dari Croatia itu buat keputusan undur diri pada musim ketiga bersama KL City. Jurulatih yang membawa KL City ke final Piala Malaysia 2021, Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023 itu dapat tawaran sebuah kelab luar negara. 👋🏼@ASTROARENA pic.twitter.com/O9Rc7BwbN3
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) July 26, 2023
“Bojan Hodak letak jawatan. Jurulatih dari Croatia itu buat keputusan undur diri pada musim ketiga bersama KL City.
“Jurulatih yang membawa KL City ke final Piala Malaysia 2021, Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023 itu dapat tawaran sebuah kelab luar negara,” jelas kenyataan tersebut di Twitter.
Malah, laman rasmi KL City juga turut menyatakan berita perpisahan Bojan Hodak secara rasmi beberapa minit lepas dengan mengucapkan terima kasih atas segala jasa pengendali tersebut dan dianggap sebagai legenda.
Bojan yang berjaya membawa KL City mara ke fina Piala FA tahun ini boleh dianggap sebagai salah seorang jurulatih paling berjaya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), setelah konsisten membawa pasukan tersebut untuk mara ke final dalam kejohanan berbeza selama tiga musim.
Walaupun KL City tidak mempunyai ramai pemain bintang, Bojan masih mampu untuk memberi sentuhan emas beliau dengan begitu baik sehingga melangkaui jangkaan segelintir penyokong bola sepak tempatan.
Tampil dengan perwatakan cukup tegas, maka tidak hairan setiap percaturan taktikal dibuat beliau mampu untuk diikuti oleh setiap pemain dalam siri-siri perlawanan dihadapi.
Paling manis tentunya pada tahun 2021 buat Bojan, selepas kejayaan mereka untuk mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kemenangan 2-0 pada saingan Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Malah Bojan juga hampir mencipta satu lagi sejarah hebat buat bola sepak Malaysia pada tahun lalu selepas kejayaan mereka mara ke pusingan akhir Piala AFC sebelum tewas kepada Al-Seeb di SNBJ.
Secara keseluruhan, tiada siapa boleh mempertikaikan segala kerja keras yang dilakukan Bojan buat bola sepak KL City dalam masa beberapa musim ini.
There's only one BOJAN and you will always be in our hearts YOU PURE CITY SOUL.#KLCityFC #ColouringTheCity #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/m5rwIFhiHj
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) July 26, 2023
Selain melahirkan ramai bakat-bakat baharu untuk KL City, Bojan juga memastikan kelab yang dikendalikan beliau layak berada di kedudukan sepatutnya selepas agak sepi dalam dunia bola sepak tempatan.
Dilaporkan Bojan bakal menyertai kelab baharu di luar negara, ini bermakna kita tidak akan melihat pengendali yang cukup ikonik dalam kalangan penyokong tempatan lagi selepas berpuluh tahun menabur bakti di Malaysia.
Kami di Semuanya BOLA mendoakan supaya Bojan kekal berjaya walau dimana beliau berada dan terus menampilkan magis tersendiri selaku seorang jurulatih berpengalaman.