Pemain yang sebelum ini beraksi di Korea Selatan bersama-sama Chungbuk Cheongju iaitu R. Kogileswaran kini telah sah kembali ke saingan Liga Super apabila menyertai Penang.
Kontrak selama setahun yang diperoleh Kogi bersama-sama kelab divisyen dua Korea Selatan itu ditamatkan atas persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak dan pemain itu kembali semula ke Malaysia.
Dengan dikaitkan bersama beberapa pasukan, Kogi akhirnya menamatkan spekulasi apabila secara rasminya menyertai Penang untuk kontrak jangka pendek.
Kogi dilaporkan menyertai Penang dengan kontrak cuma selama enam bulan sahaja. Ini bermakna, pemain itu hanya akan kekal di Utara untuk tempoh sehingga tamat saingan Liga Super tahun ini – lapor wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam.
EXCL: R. Kogileswaran sertai Penang FC. Pemain yang berhijrah dari kelab K2 Korea Chungbuk Cheongju FC itu menandatangani kontrak selama 6 bulan dan diberi jersi nombor 9 skuad Haria Penang Haria. ✍️ ✔️🔵⚪️🟡@ASTROARENA pic.twitter.com/5NDvXEoA9h
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) July 21, 2023
Namun begitu, tidak dinyatakan sama ada pemain tersebut mempunyai pilihan memanjangkan lagi tempoh itu atau pun tidak.
Kogi juga dilaporkan akan menyarung jersi bernombor sembilan yang sebelum ini dipakai oleh penyerang import iaitu Giovane Gomes yang kini tidak lagi bersama-sama Penang.
Keberhasilan Penang untuk mendapatkan Kogi adalah satu urus niaga yang baik untuk mereka kerana Kogi merupakan seorang pemain yang berkualiti yang mampu menambah sengat di bahagian serangan untuk Harimau Kumbang.
Ia juga tampak baik kerana Penang memilih untuk menggunakan pemain tempatan bagi menggantikan Gomes berbanding cuba mendapatkan penyerang import baharu yang belum tentu elok persembahannya.