Pertarungan sengit di saingan Liga M3 minggu lalu diteruskan walaupun hanya empat pasukan sahaja yang beraksi.
Hanya dua perlawanan sahaja yang diadakan dengan menyaksikan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) dan SAINS yang sedang mengejar slot ke Piala Malaysia 2023 masing-masing mengalami nasib yang berbeza minggu ini.
KL Rovers bertemu Sarawak United di Stadium Negeri, Kuching berjaya memastikan kedudukan mereka sebagai pendahulu liga tidak terjejas walaupun dikejutkan dengan gol awal tuan rumah.
Azizi Ramlee menjaringkan gol awal untuk Sarawak pada minit ke-2 sebelum KL Rovers menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian menerusi Faris Hafiz.
Tanpa disangka oleh Sarawak, jaringan Faris itu sebenarnya ibarat pintu empangan yang pecah lalu menghadirkan banjir gol untuk KL Rovers pada separuh masa pertama.
Afiq Ahmad menjaringkan gol kedua untuk KL Rovers pada minit ke-35 sebelum lima minit terakhir separuh masa pertama luka Sarawak semakin membarah.
Hal ini kerana, Afiq menyumbat satu lagi gol pada minit ke-44 sebelum Faris sekali lagi menghasilkan jaringan pada masa kecederaan.
Sementara itu di Stadium MINDEF, Kuala Lumpur. Armed Forces membuatkan SAINS yang turut mengejar slot ke Piala Malaysia gigit jari apabila mengikat kelab Negeri Sembilan itu 1-1.
SAINS yang dilabel sebagai pasukan bukan pilihan dalam pertarungan tiga penjuru ke Piala Malaysia bersama-sama KL Rovers dan Harini, berjaya mendahului perlawanan menerusi gol Rafiq Shah pada minit ke-35.
Akan tetapi, gol penyamaan daripada Hairul Iqmal pada awal separuh masa kedua memusnahkan impian SAINS untuk membawa pulang tiga mata sekali gus merapatkan jurang dengan kedudukan dua teratas liga.
Dekat tapi jauh
Selepas minggu ke-11, KL Rovers terus mengekalkan penguasaan mereka di kedudukan teratas dengan mengutip 29 mata – enam mata di depan Harini yang menduduki tangga kedua.
SAINS pula hanya boleh cuba mengejar Harini sahaja apabila mereka kini tiga mata sahaja di belakang pasukan tersebut dengan 20 mata dalam genggaman
Armed Forces pula kini berada di zon pertengahan liga dengan 13 mata dan menduduki tangga ketujuh liga sementara Sarawak hanya mengutip tiga mata dan berada di kedudukan kedua tercorot.