Penyerang Cheslesa, Kai Havertz dilaporkan semakin hampir untuk menuju jalan keluar dari Stamford Bridge pada musim panas ini dan Arsenal menjadi pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Jerman tersebut.
Menjelang musim baharu, semua kelab kini giat membuat persiapan bagi mengukuhkan skuad masing-masing bagi mencabar kejuaraan.
Arsenal telah melahirkan minat yang serius terhadap Havertz yang dilihat semakin hilang motivasi bersama Chelsea dan pastinya beliau memerlukan suasana baru untuk kembali menghidupkan kariernya.
🚨 Kai Havertz is very close in joining Arsenal. Total package is around €80m all in (@Plettigoal) pic.twitter.com/XEquWQIn3x
— Le African Gooner (@leafricangooner) June 18, 2023
Dengan kontraknya masih berbaki dua tahun, Chelsea tentunya melihat pemain ini masih boleh dijual dengan harga yang tinggi dan sudah pasti melepaskan pemain berpotensi secara percuma tidak digemari oleh pengurusan tertinggi pasukan.
Bukan hanya Chelsea, beberapa pasukan ternama Eropah lain juga sudah menyatakan hasrat untuk memancing pemain berusia 24 tahun ini termasuklah juara Jerman, Bayern Munich sudah memantau pemain ini sejak sekian lama.
Isunya adalah tag harga yang diletakkan oleh Chelsea iaitu setinggi £70 juta dan itu bukanlah jumlah yang Arsenal mahu laburkan hanya untuk seorang pemain.
Legenda Arsenal, Thiery Henry telah beberapa kali memuji Havertz yang dianggap mempunyai beberapa persamaan dengan Robin van Persie yang juga merupakan seorang penyerang kidal dan mempunyai teknik serta kemahiran yang baik di atas padang.
Kenapa Arsenal perlukan Havertz?
Musim lalu menyaksikan Arsenal bergelut di hadapan gol dan meletakkan beban semata-mata kepada Gabriel Jesus. Manakala Eddie Nketiah pula dilihat tidak cukup ciri-ciri sebagai seorang penyerang prolifik.
Havertz pula boleh berfungsi sebagai penyerang yang mampu berperanan secara lebih kreatif dan pada masa yang sama mampu menjaringkan gol dalam pelbagai situasi. Maka beliau dianggap pasangan yang sesuai bersama Jesus.
Jika Arsenal serius untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mara lebih jauh dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), mereka memerlukan corak serangan yang pelbagai dan Havertz adalah jawapannya.