Pengendali skuad kebangsaan bawah 17 (B-17) iaitu Osmera Omaro mengakui berpuas hati dengan prestasi semasa ditampilkan oleh para pemain kendaliannya selepas mengharungi dua aksi persahabatan.
Skuad negara B-17 bakal mengharungi tugas getir di Thailand tidak lama lagi untuk menjadi salah satu negara yang menyertai saingan Piala Asia B-17 selepas berjaya mendapatkan slot tersebut menerusi pusingan kelayakan sebelum itu.
Hamidin Mahu Skuad B-17 Negara Bersatu Hati Di Thailandhttps://t.co/FYQhOPScDT
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) June 11, 2023
Tampil dengan pelbagai persiapan dibuat, skuad B-17 turut menjalani kem latihan pusat sebelum itu di Qatar untuk mengadakan beberapa aksi persahabatan bersama kelab tempatan sana.
Setelah pulang dengan keputusan positif, Malaysia B-17 turut menjalani dua lagi aksi persahabatan bertemu dua negara yang mempunyai reputasi baik dalam bola sepak iaitu Uzbekistan B-17 serta Arab Saudi B-17.
Walaupun gagal mencatat sebarang kemenangan atau seri, pengendali malaysia B-17, Osmera tetap berpuas hati dan mengakui ada peningkatan dipamerkan oleh pasukan tersebut selepas mengharungi dua aksi itu.
Jelas Osmera, ada peningkatan positif telah dipamerkan oleh para pemain secara keseluruhan walaupun mereka mencatat dua kekalahan dalam aksi yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam.
Pengendali tersebut juga percaya jika segala kelemahan yang dikesan itu berjaya diatasi, skuad B-17 mampu memberi saingan terbaik kepada pasukan lawan pada saingan tersebut.
“Berdepan lawan dengan kualiti seperti Arab Saudi, kita boleh tunjukkan corak permainan yang baik. Kita tolak beberapa kesilapan kritikal dan secara keseluruhan, ia persembahan yang baik.
“Kita bermain secara kombinasi, dapat menyerap asakan mereka dan ini satu perkembangan baik dari segi pembangunan. Cuma kita tahu kita juga perlu tunjukkan keputusan yang baik.
“Kita kurangkan kesilapan, perbetulkan beberapa bahagian dan dengan sedikit tuah, kita boleh main dan saya rasa kita boleh memberi saingan nanti,” katanya menerusi Berita Harian.
Pada masa sama, Osmera juga mengakui kini agak pening buat beliau untuk memilih rantaian pemain terbaik bagi mengharungi saingan Piala Asia B-17 nanti.
Apa tidaknya, setiap pemain kini mempamerkan aksi yang cukup baik dan seimbang membabitkan kesebelasan utama serta di bangku simpanan setelah diberi peluang.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 2
MALAYSIA B-17 🇲🇾 1-4 🇸🇦 ARAB SAUDI B-17
⚽️ Muhammad Dainei Mat Disa 45’+1’
⚽️ Nawaf Nasser Albishri 5’ 47’ Talal Abubakr Abdullah 65’ Amar Hamer Alyuhaybi 84’#FAM #HarimauMalaya #AFCU17 pic.twitter.com/uYn5DIYANW— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 9, 2023
“Beberapa pemain di lapisan kedua kita menunjukkan aksi yang lebih baik. Pemain yang masuk tadi (lawan Arab Saudi) nampaknya menunjukkan persembahan lebih baik daripada pemain yang kita biasa gunakan.
“Mereka adalah pemain yang baik cuma lambat matang, jadi ini memberikan kita masalah untuk memilih kerana kita ada ramai pemain,” katanya akhir sekali.