Saingan Liga Indonesia tampaknya akan terus bergerak dengan lebih maju, setelah beberapa perubahan baharu akan dibuat untuk terus menaikkan lagi kualiti bola sepak di sana pada masa akan datang.
Selain memfokuskan kepada skuad kebangsaan, Indonesia kini tampil mahu membuat beberapa perubahan dalam saingan liga dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai bintang berkualiti bagi diketengahkan.
Selain itu, saingan Liga Indonesia kini juga dilaporkan telah mengikat kerjasama bersama salah satu kuasa besar bola sepak di Eropah iaitu Jerman untuk memantapkan lagi dalam segenap perkara.
Saya berkunjung ke Dortmund utk melihat fasilitas yg mereka miliki. Mereka sukses mencetak pemain muda top seperti Bellingham, Sancho, Pulisic, dan Reyna.
Kami dapat banyak ilmu utk diterapkan di Indonesia, agar bisa mengembangkan bakat anak bangsa yg akan mewujudkan mimpi kita pic.twitter.com/2OCUYuxoaR
— Erick Thohir (@erickthohir) June 9, 2023
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Umum (Ketum) Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Erick Thohir dan mendapat reaksi positif daripada para penyokong bola sepak negara tersebut.
Jelas Erick, PSSI telah pun menjalinkan kerjasama baharu bersama pengendali Liga Jerman iaitu Deutsche Fussball Liga (DFL) untuk meningkatkan lagi kualiti bola sepak peringkat domestik di Indonesia.
“Kami sudah pun mengikat MoU bersama pengendali saingan Bundesliga iaitu Deutsche Fussball Liga (DFL) dalam usaha untuk menjadikan Liga Indonesia terbaik di Asia Tenggara,” jelas Erick menerusi Twitter beliau.
Kata Erick lagi, kerjasama dibuat ini meliputi pelbagai perkara dan bakal membawa faedah buat bola sepak Indonesia pada masa akan datang untuk terus menyakinkan para penyokong menerusi laporan CNN Indonesia.
Kerjasama yang dibuat itu merangkumi aspek pembangunan bakat-bakat muda, pengurusan sistematik liga dan kelab, pengurusan stadium, penyokong, keselamatan, media serta urusan perlesenan kelab.
Tambah Erick, langkah ini dibuat demi meningkatkan lagi kualiti saingan liga serta dapat menghasilkan lebih ramai pemain bermutu tinggi untuk Indonesia pada masa hadapan.
“Ini merupakan langkah yang terbaik dibuat kami untuk bekerjasama dengan salah satu pengelola liga terbaik di dunia supaya dapat menghasilkan barisan pemain terbaik untuk skuad kebangsaan serta meningkatkan kualiti liga,” tambah Erick di Instagram pula.
Sebelum itu, Indonesia juga menjadi antara negara Asia Tenggara yang baharu untuk memberi tumpuan lebih serius tentang penggunaan sistem Video Assistant Referee (VAR) dalam saingan liga mereka.
Kami sudah mengikat MoU dgn penyelenggara Bundesliga, Deutsche Fussball Liga (DFL) utk menjadikan Liga Indonesia yg terbaik di Asia Tenggara.
Kerja sama ini utk usia muda, manajemen liga dan klub, manajemen stadion, keamanan suporter, media & lisensi klub. pic.twitter.com/T3eTIDABg4
— Erick Thohir (@erickthohir) June 9, 2023
Malah, perkara ini turut digesa Erick supaya sistem tersebut dapat dipasang dengan lebih cepat supaya isu pengadil di Indonesia tidak lagi menjadi pertikaian ramai.
Ketika ini, proses untuk memasang sistem tersebut masih lagi berjalan dan mereka perlu mengatasi beberapa masalah seperti fasiliti serta keupayaan pengadil tempatan untuk menggunakannya sebelum sedia digunakan secara rasmi.