Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menghadapi satu lagi aksi Liga Super malam ini dengan menghadapi lawan mereka iaitu Penang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
JDT pada musim ini tampil dengan sangat gah dalam aksi Liga Malaysia (Liga M) selepas cemerlang dengan rekod semua kemenangan serta hanya dibolosi satu gol sahaja.
Hari perlawanan LS13! 🔥
Perlawanan tumpuan anda hari ini? 🤔#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/vWdcm4Otai
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 3, 2023
Menerusi rombakan kecil yang dibuat, JDT tampak tidak ada sebarang sisi kelemahan dapat dilihat pada setiap perlawanan dihadapi mereka sehingga kini.
Malah, ianya mula dilihat ketika mereka menjalani aksi persahabatan ketika pramusim lalu, selepas menentang beberapa kelab ternama dari Eropah dengan kualiti permainan ditampilkan jelas meningkat.
Untuk aksi menentang Penang, ini merupakan pertemuan kali kedua membabitkan JDT bersama pasukan tersebut, setelah kedua kelab ini sudah bertembung dalam aksi suku akhir Piala FA 2023.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Esteban Solari berjaya melakar kemenangan besar 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan aksi cukup cemerlang.
Lebih menyakinkan, JDT tampil dengan rombakan besar dalam kesebelasan utama untuk menggunakan lebih ramai pemain simpanan seperti Farizal Marlias, Corbin Ong, Shane Lowry, serta beberapa lagi.
Walaupun ada perubahan dibuat, ianya tidak mengganggu momentum para pemain untuk tampil cemerlang mengatasi pelawat dengan jumlah jaringan besar.
Malah, pemain simpanan seperti Syafiq Ahmad juga menjadi antara individu yang sangat cemerlang pada perlawanan tersebut dengan menjaringkan gol terakhir buat Harimau Selatan.
Untuk aksi seterusnya, pasti skuad kendalian Manzoor Azwira tidak rela tewas dengan jumlah jaringan besar di laman sendiri kepada JDT yang kali ini hadir sebagai pelawat.
Walaupun begitu, Penang juga perlu peka dengan perubahan yang mungkin bakal ditampilkan oleh JDT daripada segi corak permainan serta pemain dalam kesebelasan utama.
Come watch us in Penang tomorrow!#PENvJDT#LigaSuper2023#WhatCanYouDo#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/WXQvJx8t1j
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) June 2, 2023
Penang yang kini berada di tangga kesembilan pastinya tidak rela untuk terus tewas serta mahu sekurangnya membawa pulang satu mata supaya dapat memperbaiki kedudukan semasa carta liga.
Apapun, JDT turun ke gelanggang lawan tanpa tekanan besar berbanding Penang yang perlu memikirkan segenap cara untuk menyekat kemaraan pelawat.