Kelantan United akan menghadapi satu lagi aksi Liga Super malam ini untuk bertemu pasukan jiran, Kelantan The Red Warriors (TRW) untuk mencari peluang tiga mata pertama mereka musim ini.
Peluang Kelantan United untuk mengumpul tiga mata penuh dilihat cerah kini, selepas lawan mereka Kelantan TRW tampil dengan prestasi tidak menentu serta mempunyai isu dalaman.
Menerusi rekod lima perlawanan lalu, Kelantan TRW tampil unggul menerusi tiga kemenangan dengan dua lagi masing-masing mencatat keputusan seri sahaja.
Kelantan United sebenarnya bermula dengan sangat perlahan musim ini untuk menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum memungut sebarang kemenangan selepas mengharungi 12 perlawanan.
Tampil dengan rombakan pemain tempatan serta import, awal musim menyaksikan mereka turut melantik Thomas Trucha sebagai ketua jurulatih sebelum ditukarkan atas masalah prestasi.
Namun, keputusan terbaharu ketika mereka terikat seri 3-3 bersama Negeri Sembilan memberi isyarat baharu pasukan tersebut jelas tampil dengan corak permainan lebih menyakinkan berbanding sebelum itu.
Apa tidaknya, ketika aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, Kelantan United yang hadir selaku pelawat hampir mencipta kejutan untuk memperoleh tiga mata pertana sebelum kembali diikat dengan dramatik oleh tuan rumah.
Antara pemain tumpuan mereka pastinya terarah kepada penyerang import dari Filipina iaitu Jose Elmer (OJ) Porteria yang menjadi tunjang utama kekuatan pasukan tersebut di bahagian serangan.
Menerusi kelincahan, skil individu, serta ketenangan di hadapan gol, OJ Porteria menjadi salah satu aset penting buat Kelantan United dalam menggerakan posisi hadapan dengan lebih kreatif.
Malah, pemain tengah mereka iaitu Khairu Azrin Khazali juga menjadi individu yang sangat penting untuk memastikan lawan tidak dapat menguasai permainan di bahagian tengah menerusi terjahan-terjahan keras dibuat.
Kelantan United yang kini berada dalam momentum terbaik dilihat bersedia untuk memastikan lawan mereka pulang dengan hampa serta memastikan kemenangan pertama lahir di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Walaupun begitu, Kelantan TRW juga pastinya tidak rela untuk terus menjadi lubuk kemenangan buat pasukan lain, dengan sekurangnya akan tampil bersedia untuk menyekat segala kemungkinan dicipta tuan rumah.
Perlawanan ini dijangka akan disaksikan ramai penyokong, kerana masing-masing ingin mengetahui kelab mana lebih layak untuk menjadi raja bola sepak di Kelantan.