Sri Pahang bakal berdepan saat getir pada aksi malam esok berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam misi mereka untuk mengekalkan rekod tanpa tewas selepas mengharungi 11 perlawanan tanpa tewas.
Bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), ianya merupakan satu tugas berat buat Fandi Ahmad untuk mengekalkan momentum positif mereka setakat ini yang disifatkan cukup cemerlang.
Another win boys 👏🏼#SriPahang#WhereLegendsAreBorn#HakkaClo#PosMalaysia pic.twitter.com/qsdBV50rOm
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) May 20, 2023
Ini kerana, dilaporkan Sri Pahang bakal tampil tempang berdepan JDT menerusi beberapa pemain tonggak mereka yang mengalami kecederaan pada perlawanan akan datang.
Musim ini menyaksikan Sri Pahang mengalami isu kecederaan sejak awal perlawanan dan terkini mereka bakal terlepas beberapa pemain utama pula untuk menghadapi JDT.
Menurut Fandi Ahmad selaku pengendali utama Sri Pahang, beliau terpaksa mengetepikan penyerang import berbisa mereka iaitu Lucas da Silva, Sergio Aguero, serta tonggak tengah berpengaruh, Nor Azam Azih.
“Setakat ini, saya belum dapat pastikan Aguero dapat bermain berdepan JDT Rabu ini, begitu juga Azam manakala Silva masih belum pulih daripada kecederaan.
“Kecederaan yang dialami Silva memerlukan tempoh yang panjang tetapi saya mengharapkan pemain lain mampu untuk beraksi dengan lebih baik.
“Pada masa sama, kita mahu Aguero beraksi kerana kelemahan ketara Sri Pahang ialah di bahagian tengah.
“Ketiadaan mereka (Aguero dan Azam) sudah pasti memberi kesan terhadap persembahan pasukan terutama berdepan JDT,” katanya menerusi Arena Metro.
Pada masa sama, pengendali dari Singapura itu turut merasa lega dengan prestasi semasa dipamerkan oleh pemain tengah Sri Pahang musim ini iaitu Kevin Ingreso.
Keputusan masa penuh. Kita berjaya mendapatkan 3 mata penuh di tempat sendiri dan…
masih mengekalkan rekod tanpa kalah!#SriPahang #WhereLegendsAreBorn #HakkaClo pic.twitter.com/TjkCt1fi79
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) May 20, 2023
Ingreso menjadi antara nadi penting buat Sri Pahang pada perlawanan lalu ketika mereka cemerlang menewaskan Penang menerusi keputusan penuh 1-0.
Konsistensi dipamerkan oleh Ingreso ketika ini jelas melegakan Fandi yang pastinya mengharapkan pemain tersebut mampu mengawal jentera tengah pada aksi berdepan JDT.
“Walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, dia berjaya melaksanakannya bersama pemain lain.
“Saya harap semua pemain dapat beraksi pada tahap terbaik untuk mendapat keputusan positif,” kata Fandi lagi dalam misi beliau untuk mengekalkan rekod cemerlang Sri Pahang tanpa tewas.