Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berasakan yang legasinya sebagai pengurus di kelab itu tidak akan tercalar walaupun gagal meraih tiga piala musim ini.
City yang masih berpeluang untuk menjadi juara Eropah musim ini, bagaimana pun perlu mengatasi cabaran Real Madrid di separuh akhir UEFA Champions League.
Setakat ini, City masih lagi belum sah merangkul mana-mana kejuaraan walaupun gelaran Premier League semakin hampir menjadi milik mereka.
Dan sekiranya Guardiola tidak berjaya peroleh sebarang kejayaan musim ini bersama-sama City, rekodnya sudah cukup hebat. Siapa boleh lawan kan?
“Legasi saya sudah pun hebat, saya sudah berada di sini [separuh akhir UCL] sudah beberapa kali.
“Kami bukannya bodoh tak tahu betapa pentingnya aksi ini. Ini mungkin adalah perlawanan terpenting dalam sejarah kami sepanjang kami bersama. Kami tak boleh nafikan itu,” kata Guardiola.
Menurut Guardiola lagi, pemain-pemainya cukup beruntung untuk dapat beraksi di peringkat setinggi separuh akhir UCL.
“Saya katakan kepada pemain saya yang ini adalah peluang yang cukup besar, jadi nikmatilah saat ini.
“Kami cukup beruntung untuk berada di sini. Segalanya bergantung kepada kami sekarang, kami tidak perlu lakukan sesuatu yang begitu hebat, cuma jadi diri sendiri, menang satu perlawanan dan layak ke perlawanan akhir,” ujar Guardiola lagi.
City dan Real sebelum ini terikat 1-1 pada aksi pertama di Sepanyol dengan peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasukan.