Banyak pihak yang terkejut apabila Manchester United membelanjakan £37 juta untuk seorang pemain berusia 18 tahun. Tetapi pastinya ada sebab mengapa nilai itu yang dibayar untuk mendapatkan Amad Diallo dari Atalanta.
Perkembangan Amad sebenarnya telah dipantau selama lima tahun oleh pancari bakat United sejak menyertai akademi Atalanta pada usia 13 tahun.
Bukan hanya melihat kepada keupayaannya, tetapi juga personaliti seorang pemain yang diyakini mampu berdepan dengan cabaran bermain untuk salah satu kelab terbaik di dunia.
Jaringan cantiknya menerusi gerakan sepakan percuma untuk Sunderland ketika aksi separuh akhir pertama play-off Championship menentang Luton Town tempoh hari mencerahkan peluang kepada pasukan tersebut untuk kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
There are no words 🤯
✨ @Amaddiallo_19 #SAFC | #TilTheEnd pic.twitter.com/Rq4tXET27Y
— Sunderland AFC (@SunderlandAFC) May 14, 2023
Kecemerlangan Amad sepanjang tempoh dipinjamkan ke Sunderland cukup menggembirakan pengurus kelab Tony Mowbry yang menggelar pemain muda itu sebagai ‘ahli magis’.
Kini menjelang penghujung musim, United perlu membuat keputusan penting untuk menentukan masa depan Amad. Selepas apa yang ditampilkan olehnya di Sunderland, adakah mereka perlu menjualnya dengan harga yang dianggap berbaloi atau meminjamkannya untuk meneruskan perkembangannya?
Atau Erik ten Hag wajar memberikan peluang kepadanya untuk beraksi lebih kerap bersama skuad utama, seperti mana peluang yang sedang dinikmati oleh Alejandro Garnacho ketika ini.
Masihkan ada ruang?
Ketika kebanyakan penyokong United mahu melihat kepulangan Amad ke Old Trafford pada musim depan, namun berdasarkan senarai pemain sayap menyerang yang ada ketika ini ianya dianggap mustahil.
Pertama sudah tentu beliau sukar untuk mengetepikan Marcus Rashford, pemain paling penting buat United pada musim ini yang telah sedang menikmati musim terbaiknya selepas mengumpul 29 gol daripada 53 penampilan dalam semua pertandingan.
Seteruanya Antony, pemain paling mahal dalam skuad dan juga kegemaran Ten Hag. Meskipun musim ini pemain antarbangsa Brazil itu cuma menyumbang lapan gol, tetapi United tentunya mahu beri lebih banyak ruang dan peluang untuk membuktikan kemampuan sebenarnya, sejajar dengan harga tinggi yang telah dilaburkan.
Begitu juga dengan Jadon Sancho yang ternyata berdepan dengan tempoh yang cukup sukar sejak melengkapkan perpindahan bernilai £73 juta dari Dortmund sehingga diberikan ‘program khas’ oleh Ten Hag untuk mengembalikan keyakinannya.
Amad juga perlu bersaing dengan pemain remaja sensasi, Alejandro Garnacho yang baru sahaja menandatangani kontrak baharu selepas menampilkan aksi cemerlang pada musim ini dan menjadi pemain kesayangan penyokong.
Kemudian di posisi yang sama juga ada Facundo Pellistri dan Anthony Elanga yang turut mengintai peluang untuk beraksi bersama skuad utama.
Jual atau pinjamkan?
Tentunya sukar untuk United menjual Amad dengan harga setinggi £40 juta kerana pemain ini belum terbukti keupayaannya untuk bermain di peringkat tinggi.
Pilihan terbaik tentulah meneruskan pembangunan pemain ini dengan meminjamkannya kepada kelab yang tepat. Sekiranya Sunderland berjaya memanjat ke EPL musim depan, maka mengekalkannya di Stadium of Light adalah percaturan yang baik.
Deadlock broken in style 🔓🔥#SAFC | @AmadDiallo_19 pic.twitter.com/QPpaJ30Sd2
— Sunderland AFC (@SunderlandAFC) May 9, 2023
Mungkin beberapa kelab EPL lain juga boleh ditawarkan khidmat pemain ini seperti Burnley atau Fulham. Atau mencari kelab-kelab di liga utama Eropah yang lain seperti La Liga atau Serie A.
Satu lagi musim yang baik boleh meningkatkan lagi keupayaan dan keyakinan Amad untuk kembali ke Old Trafford sebagai pemain yang serba lengkap menjelang musim 2024/25.
Dikhuatiri memanggilnya pulang terlalu awal ke United hanya akan membantutnya perkembangan kariernya yang sedang mekar ketika ini.