Persija Jakarta yang merupakan salah satu kelab gergasi dalam saingan Liga 1 Indonesia bakal mengorak langkah lebih jauh dalam dunia bola sepak, selepas dikhabarkan bakal menjalani beberapa aksi persahabatan bersama pasukan dari Eropah.
Perjalanan panjang mengarungi Liga 1 2022/2023 telah mencapai akhirnya. Tidak mudah tapi bukan berarti jadi halangan untuk terus berjuang hingga sampai di posisi kita sekarang ✊#ToTheNextLevel #BelieveIn12 #PersijaJakarta pic.twitter.com/S0cxgGsLl5
— Persija Jakarta (@Persija_Jkt) April 18, 2023
Saingan Liga 1 Indonesia yang sudah pun tamat ketika ini menyaksikan banyak kelab sudah pun membuat pelbagai persediaan untuk tampil lebih baik pada musim hadapan.
Selain sibuk menandatangani khidmat pemain baharu, Persija tampil dengan pendekatan lebih menarik untuk menguji kelab-kelab dari Eropah sepanjang tempoh pramusim berlangsung.
Malah, dilaporkan pihak pengurusan kelab tersebut sudah pun menghubungi wakil-wakil pasukan terpilih di Eropah untuk merealisasikan perkara tersebut tidak lama lagi dan mendapat maklum balas positif dalam kalangan penyokong.
Sehingga kini, dilaporkan beberapa kelab dari Eropah sudah pun menunjukkan rasa minat untuk menjalani aksi persahabatan tersebut, namun masih lagi belum dijelaskan nama-nama pasukan.
“Untuk aksi persahabatan ini, sudah ada beberapa kelab menghubungi kami termasuk wakil dari Eropah. Ada yang menghubungi menerusi ejen, selain itu wakil pengurusan kelab sendiri menghubungi kami,” jelas Presiden Persija iaitu Mohamad Prapanca menerusi Bola.com.
Update perkembangan Persija Training Camp hari ini 😍#ToTheNextLevel #BelieveIn12 #PersijaJakarta pic.twitter.com/spUBbs0k7l
— Persija Jakarta (@Persija_Jkt) May 2, 2023
Menerusi aksi antarabangsa itu, Mohamad Prapanca berharap supaya ia menjadi pencetus kepada tranformasi bola sepak di Indonesia serta diikuti oleh kelab-kelab lain pada masa akan datang.
“Rancangan untuk memperkukuhkan transformasi bola sepak Indonesia juga kami sedang buat ketika ini, kami juga mempunyai perancangan untuk menjadikan Persija sebagai perintis program transformasi itu,” tambah beliau lagi.
Ketika ini, dilaporkan juga pengurusan Persija sedang sibuk untuk membawa lebih banyak kelab luar negara yang berkualiti sebagai medan mereka dalam membuat persediaan pramusim.
Untuk rekod, musim lalu Persija Jakarta menamatkan persaingan liga di tangga kedua, selepas juara sudah pun disahkan lebih awal kepada PSM Makassar yang sangat konsisten sejak awal.
Mohamad Prapanca kini optimis pada musim akan datang, Persija mampu untuk kembali merebut kejuaraan liga dan jauh lebih berkembang menerusi persiapan dibuat mereka sejak awal.
“Melihat kepada hasil diperoleh musim ini, kami rasa sangat bersedia untuk menghadapi cabaran akan datang. Mungkin ada beberapa perkara kami perlu perbaiki lagi seperti nilai komersial kelab serta infrastruktur,” ulas Mohamad Prapanca.