Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, pemilik Kelantan, Zamsaham mempersoalkan tentang satu perkara – adakah pemilik tidak boleh campur tangan ‘sedikit’ dalam urusan pilihan pemain dan pasukan dimilikinya?
Beliau berulang kali menyebut yang beliau hanya memberi satu peratus sahaja pandangan kepada Choi Moon-sik tetapi bekas pengendali itu dilihat tidak mahu mendengar pandangannya malah memboikot perlawanan.
Perang mulut antara kedua-dua pihak tersebut dilihat berlanjutan sehingga dikhabarkan bahawa perkara ini akan dibawa ke FIFA oleh ejen jurulatih itu.
Norizam Tukiman atau Zamsaham apabila ditanya, adakah beliau takut? Beliau menyatakan beliau tidak gentar dengan ugutan tersebut, malah sudah mengarahkan peguamnya yang membuat laporan kepada FIFA.
ESOK DI NADI ARENA !! 🔥🔥🔥#Boszam @TRWFC dedah apa yang sebenarnya berlaku di sebalik krisis #Kelantan #DemiLigaKita pic.twitter.com/w8qYPLgBP1
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) April 10, 2023
Satu perkara yang menarik dalam perbincangan tersebut adalah persoalan daripadanya tentang campur tangan oleh pemilik, adakah ia salah?
Pendapat Ferguson dan Wenger tentang isu ini
Perkara ini pernah dibincangkan di arena antarabangsa di mana dua pengurus berpengaruh, Arsene Wenger dan Alex Ferguson dilihat senada yang pengurus pasukan atau ketua jurulatih harus memiliki kuasa penuh terhadap pasukan yang mereka kendalikan tanpa campur tangan pemilik.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan mereka selepas melihat pemergian Alan Curbishley di West Ham dan Kevin Keegan di Newcastle United pada 2008.
“Kita perlukan pengurus yang kuat pendiriannya yang mampu untuk bangkit menentang campur tangan yang cuba mengubah prinsip permainan,” ungkap Ferguson sambil mengagumi tindakan berani ‘angkat kaki’ Keegan.
Keegan meninggalkan Newcastle selepas terdapat campur tangan pemilik, Mike Ashley. Dennis Wise dilantik sebagai Pengarah Sukan di The Magpies sebulan kemudian dan dilihat telah mengurangkan ‘kuasanya’ dalam pemilihan pemain yang mahu dibawa masuk dan dikeluarkan dari pasukan.
James Milner dijual tanpa pengetahuannya, malah ditipu hidup-hidup yang Bastian Schweinsteiger – dikatakan sebagai pengganti Milner boleh didapati dengan tanda harga 5 juta Euro. Tawarannya hanya diketawakan oleh ahli lembaga pengarah Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge.
In the summer of 2008, Newcastle United attempted to sign Bastian Schweinsteiger to replace James Milner, who had recently departed to Aston Villa. Then-manager Kevin Keegan phoned Karl-Heinz Rummenigge to negotiate, but was laughed at; Newcastle had offered €5M.
[FourFourTwo] pic.twitter.com/aN7k9zySLw
— Bavarian Tweets (@BavarianTweets) September 5, 2018
“Kualiti seorang pengendali itu ditentukan oleh kualitinya mengawal pasukan. Seorang pengurus adalah pengemudi utama pasukan dan beliau harus menunjukkan kuasanya dan tunjukkan beliau ada kawalan penuh,” tambah Wenger yang mengemudi The Gunners selama 12 tahun lamanya.
“Jika anda tidak mempunyai kawalan malah perlu bertanggungjawab atas kekalahan, maka ia sesuatu yang tidak boleh ditanggung,” tegasnya.
Kedua-dua pengendali ini sangat dihormati malah baru sahaja dimasukkan ke dalam Dewan Kemasyhuran (Hall Of Fame) English Premier League.
Kisah Paul Scholes sebagai pengurus Oldham Athletic
Selain kisah ‘angkat kaki’ Keegan, tentunya pembaca pernah mendengar kisah lagenda Man United, Paul Scholes ketika bersama Oldham Athletic?
Beliau hanya bertahan dalam tujuh perlawanan bersama kelab tersebut. Dan beliau memilih untuk ‘angkat kaki’ selepas tidak berpuas hati dengan campur tangan pemilik kelab terhadap urusan pilihan pemainnya.
“Saya mendengar banyak cerita tentang campur tangan [pemilik] dan dalam tiga minggu pertama di sana, saya dapat merasainya,” ungkap Scholes.
📋 Paul Scholes as Oldham Manager:
Games: 7⃣
Won: 1⃣
Drawn: 3⃣
Lost: 3⃣
Points: 6⃣
Days in charge: 31 pic.twitter.com/NZ7dlaTMmm— Sky Sports Statto (@SkySportsStatto) March 14, 2019
“Saya hormati para pemain dan apabila saya mendapat arahan, ‘jangan turunkan dia’, jadi ia adalah masa untuk tinggalkan pasukan,” tambahnya yang bercakap kepada BT Sports pada 2019 – selepas tinggalkan pasukan.
Ia umpama mimpi ngeri dalam karier kejurulatihannya apabila mendapat arahan luar tentang pemilihan pemainnya. Ini kerana, beliau berasa yang para pemain tidak selayaknya dilayan sebegitu rupa oleh pasukan sendiri.
Mikel Arteta dan Pengarah Sukan Arsenal, Edu
Mungkin hubungan antara pengendali Arsenal, Mikel Arteta dan Pengarah Sukan, Edu juga boleh dirujuk dalam isu ini. Edu pernah menjelaskan tentang hubungan kerjanya bersama pengendali kelahiran Sepanyol itu.
“Dia [Arteta] tunjukkan kepada saya dengan jelas bagaimana beliau mahu mencorakkan pasukan yang mana sangat membantu kami dalam membuat keputusan. Dia membuatkan kehidupan di kelab semakin mudah dijalani,” jelas Edu yang juga merupakan alumni ‘The Invisibles’ 2003/04.
Beliau kemudian memberikan sasaran lima tahun kepada Arteta yang mana pada musim 2022/23 mereka dijangka akan mula menuai hasil kesabaran.
“Rakan-rakan sekalian [merujuk kepada Arteta dan ahli lembaga kelab], musim 2022/23 akan menjadi musim terbaik kita. Kita perlu bersabar. Sangat mustahil untuk keluarkan semua dan membawa masuk semua yang kita mahu. Ada proses yang kita perlu lakukan,” ceritanya kepada The Athletic.
Our defensive recruitment has been insane.
Have a feeling Kiwior is going to be a beast for us in the future too.
Saliba, Gabriel, White, Tomiyasu, Zini = €168.1m
Maguire, Lindelof, Wan Bissaka = €177m
Fofana, Cucurella, Koulibaly = €183m
MONEY WELL SPENT EDU & ARTETA👏🏽 pic.twitter.com/H97dg2OPUw
— Ben Mattinson (@Ben_Mattinson_) February 2, 2023
Masih ingat ketika Arteta menekankan tentang keperluan berbelanja pada Januari lalu selepas penyerang harapan Arsenal, Gabriel Jesus cedera?
Edu telah berjaya membawa masuk tiga pemain pada penutup jendela perpindahan iaitu Leandro Trossard, Jakub Kiwior dan Jorginho.
Bagaimana situasi ini di Malaysia?
Di Malaysia agak sukar untuk menceritakan bagaimana campur tangan tersebut. Seperti persoalan Zamsaham, sebagai pemilik, salahkah untuk beliau campur tangan dengan menyampaikan satu peratus pendapatnya.
Situasi di Malaysia, pengurus dan jurulatih adalah dua individu berbeza. Struktur yang berbeza dengan arena luar negara terutama Eropah. Dan ditambah pula dengan pemilik dalam struktur baharu selepas penswastaan.
Jadi, campur tangan ini biasanya kita akan pernah dengar iaitu pemain sampai dulu, jurulatih dilantik kemudian. Dan, di sinilah masalahnya.
Selain itu, selaku pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) pernah menyebut tentang pembelian pemain. “Hari ini saya berjanji akan terus beli pemain-pemain hebat dalam negara,” titipnya selepas Malaysia melalui kejohanan Piala AFF 2022.
TMJ Janji Beli Semua Pemain Hebat Dalam Negarahttps://t.co/1tw4nPUB3M pic.twitter.com/mwa7l4M6y1
— VOCKET FC (@vocketfc) December 26, 2022
Adakah TMJ terlibat secara langsung dalam pembelian pemain? Sudah tentu, beliau adalah pemilik pasukan. Bagaimana pula dengan pemilihan pemain? Isu ini pernah dijelaskan olehnya pada 2021 di mana, kuasa veto kepada jurulatih untuk pemilihan pemain selepas sesi perbincangan.
“Setiap jurulatih memberi laporan penuh prestasi pemain dan etika kerja mereka pada setiap minggu. Kami berbincang dengan jurulatih untuk tahu siapa yang kita mahu dalam barisan pemain. Kadang- kadang saya bertanya kenapa pemain ini tiada dan jurulatih akan terangkan sebabnya,” jelasnya.
Beliau juga ada pendapatnya dan ketua jurulatih akan menjawab kepada permintaannya – sama ada pemain tersebut bersedia ataupun tidak.
“Di penghujungnya, dia jurulatih dan dia yang buat keputusan. Saya hanya boleh berikan pendapat,” tambahnya lagi dalam satu sesi temu bual.
Tetapi tahukah pembaca di JDT ada jawatan Pengarah Sukan? Sejak 2016, jawatan itu telah diwujudkan oleh TMJ yang kita tahu tiada latar belakang bola sepak. Bagi mengelakkan kesilapan dalam transaksi pembelian pemain, individu-individu inilah yang memberi pandangan kepadanya.
Beliau pernah mengakui kesilapan dalam pembelian pemain import di posisi serangan pada musim 2017 dan memohon maaf kepada penyokong.
“Saya tahu bahawa kita tidak memulakan liga dengan baik musim ini terutamanya kerana kesilapan saya. Ia bukan salah jurulatih. Walaupun mempunyai jurulatih yang bagus macam mana pun, tanpa penyerang hadapan yang baik ia sukar bagi pasukan,” memetik kenyataan sebelum ini.
Mungkin atas dasar itulah, di JDT terdapatnya jawatan Pengarah Sukan yang kini dipegang Martin Prest dan Pengarah Teknikal yang dijawat oleh Hector Bidoglio. Mereka umpama penasihat kepada TMJ untuk bola sepak.
Sebarang kata putus mungkin masih tertakluk kepada TMJ, tetapi mereka inilah yang membuat kerja-kerja khusus berkaitan transaksi pemain.
Penutup
Di sini kita dapat melihat bahawa hubungan baik dan kesefahaman antara pemilik atau Pengarah Sukan dengan pengendali amatlah diperlukan.
Jika ia sudah berantakan sejal awal, sudah pasti hubungan kerjasama itu sangat wajar ditamatkan. Berdasarkan pengamatan dalam temu bual Zamsaham dan Astro Arena sebentar tadi, dapat dilihat seperti hubungan antara kedua-dua pihak sudah kacau-bilau sejak awal pra-musim lagi.
Bak kata Zamsaham, “Takkan pemilik tak boleh campur tangan, jika melihat prestasi pasukan tidak bagus?” Persoalan yang kita pasti boleh fikirkan bersama. Pemilik mana yang mahu melihat pasukannya kecundang.
Zamsaham dilihat sukar untuk mendapat kerjasama penuh daripada Choi yang merupakan antara bintang Piala Dunia Korea Selatan pada 1994.
Tetapi masalahnya, adakah sesiapa yang berkredibiliti yang memberikan input-input kepadanya dalam menyampaikan pandangannya itu?
Tentunya ini kisah dari sebelah pihak sahaja. Mungkin kita mengharapkan pihak Choi pula bakal diberi ruang untuk memberi penjelasan selepas ini.