Jarang kita melihat pemain-pemain yang berasal dari kepulauan British keluar dari zon selesa mereka untuk bermain di tempat lain seperti di Sepanyol, Itali ataupun Amerika Selatan.
Dahulunya, Britain pernah mempunyai pemain-pemain seperti Neil Franklin, George Mountford dan Charlie Mitten yang pernah beraksi di Amerika Selatan sekitar 1950-an.
Kini, ketika semua pemain bola sepak di seluruh dunia mengidamkan beraksi di Eropah bersama himpunan pemain handalan dunia, masih adakah pemain British yang beraksi di Amerika Selatan?
Kami bawakan kepada anda kisah George Saunders.
Arsenal dan Sepanyol
George Saunders (berjersi jingga) merupakan seorang pemuda British yang berasal dari utara London dan merupakan peminat setia pasukan Arsenal.
Ketika beliau berusia 8 tahun, Saunders menyertai akademi Arsenal. Namun dalam masa yang sama, bapanya memperoleh kerja sebagai kontraktor di Sepanyol.
Oleh itu, keluarga Saunders semuanya berpindah ke Sepanyol kecuali dirinya. Demi mengejar impian bermain bersama Arsenal, beliau kekal di utara London bersama bapa saudaranya.
Namun pada musim panas, Saunders mengambil keputusan untuk menyertai keluarganya di Sepanyol. Di sana, bakatnya bermain bola sepak dikesan oleh akademi Villareal.
Saunders diterima masuk ke akademi tersebut dan bermain selama 4 tahun disana sebelum dilepaskan kerana “mempunyai saiz yang terlalu kecil”.
“Saya pernah beraksi beberapa kali di padang Highbury. Namun saya terlalu rindukan keluarga saya jadi saya berpindah ke Sepanyol.”
Selepas dilepaskan Villareal. Saunders bermain pula ke Torro Levante dan kemudiannya Espanyol di Barcelona.
Di Espanyol, Saunders terpilih untuk beraksi dalam pasukan Selección Catalunya bawah-17 tahun bersama-sama dengan pemain seperti Jordi Alba, Bojan Krkic dan Thiago Alcantara.
Saunders mempunyai peluang untuk kembali ke England apabila beliau dipanggil menyertai sesi percubaan untuk kelab Letyon Orient. Namun kelab tersebut menolak untuk mengambil beliau sebagai mereka tidak mampu menggaji Saunders yang cukup merupakan pemain yang cukup cemerlang.
Nampak seperti rezeki Saunders bukanlah di England ataupun di negara lain di Eropah. Tetapi tiba-tiba peluang bermain di Colombia tiba.
Wira di Colombia
Saunders tiba di Colombia untuk beraksi dengan pasukan América de Cali. Namun beliau perlu menunggu 6 minggu untuk dipilh sebagai pemain selepas melalui proses percubaan.
Penampilan pertama Saunders sungguh memukau apabila menampilkan aksi cemerlang sebelum mengulanginya dalam perlawanan kedua. Kali ini, Saunders mencipta satu assist untuk pasukannya.
Saunders ternyata menjadi pemain pujaan penonton kerana aksinya yang memukau.
Ternyata kebolehan berbahasa Sepanyol dengan baik menjadi pembantu kepada kejayaan Saunders di sini.
Namun jodohnya dengan América de Cali tidak panjang apabila kontraknya tidak disambung setelah mengalami sedikit percakaran dengan seorang dari staf kejurulatihan kelab.
Saunders berhijrah pula ke Fortaleza. Di Fortaleza, Saunders merasai nikmat menjadi juara apabila berjaya membantu pasukannya naik ke liga utama di Colombia.
Lebih manis, Saunders berjaya menewaskan bekas kelabnya itu beberapa kali.
“Saya tak pernah kalah ketika menentang América de Cali. Dengan Fortaleza, saya menang 3 kali dan seri 2 kali menentang mereka.”
Jatuh dan bangkit semula
Waktu sukar Saunders di Colombia adalah ketika beraksi bersama Union Magdalena.
“Saya mempunyai waktu sukar ketika di Union Magdalena. Saya tidak mampu untuk mencapai jangkaan dan mengawal tekanan yang diberikan ketika di sana.”
Namun begitu, Saunders bangkit semula apabila berpindah pula ke Envigado di wilayah yang terkenal dengan Pablo Escobar iaitu Medellín.
Walaupun berada di kawasan yang dikatakan bahaya itu. Saunders tidak pernah gusar akan keselamatan dirinya.
“Tidak kiralah dimana saja kita pergi di dunia ini. Jika kita berada di tempat yang orangnya tidak menerima kehadiran kita, kita pasti dalam bahaya.”
“Saya suka Medellín kerana disini saya diterima oleh masyarakatnya. Mereka melayan saya dengan baik dan sopan.”
Saunders ternyata dapat menyesuaikan diri dengan pasukannya Envigado. Hal ini kerana beliau beraksi dengan dua bekas pemain kebangsaan Colombia.
“Kami mempunyai Andrés Orozco dan Bréiner Castillo yang pernah beraksi dengan pasukan kebangsaan Colombia dan pengalaman mereka cukup berguna untuk kami.”
MAKTUB seguimos envigado FC pic.twitter.com/SXcW6ON0JQ
— George Saunders (@gorgysaunders) September 11, 2016
Ditanya sama ada beliau rindukan England atau tidak. Saunders kini tidak lagi rindukan budaya negara asalnya.
“Saya cuma rindukan kentang dan pai sahaja. Selain daripada itu saya cuma rindukan ibu bapa saya dan keluarga.”
“Saya sukakan segalanya mengenai Colombia, cuacanya, orang-orangnya serta makanannya. Tiada yang lebih baik daripada saya bangun pagi dan lakukan perkara yang saya suka disini.”
“Kadangkala, takdir manusia sudah pun tertulis. Dan takdir saya adalah di sini.”