Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner berkata yang ini kekalahan yang menyakitkan kerana mereka telah bermain dengan lebih baik kali ini.
Terengganu tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dalam aksi minggu kelima Liga Super 2023, malam tadi.
Ia merupakan kemenangan sulung buat Negeri Sembilan selepas gagal meraih tiga mata dalam empat aksi, sementara Terengganu pula gagal meneruskan rentak kemenangan selepas membenam PDRM tempohari.
Mengapa ia kekalahan yang menyakitkan? Menurut pengendali kelahiran Croatia itu, mereka memiliki beberapa peluang meledak gol lebih banyak.
🏴🏳️ KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN 🏴🏳️
FT [ @nsfc1923 2-1 @FCTerengganu ]
⚽️ Madinda
⚽️ Adisak Kraisorn
⚽️ Casagrande#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/IjmlbxEHfK— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) March 16, 2023
“Saya rasa kami bermain dengan baik, mencipta lima atau enam peluang terbaik meledak gol. Pada babak pertama mungkin kami sudah boleh menjaringkan beberapa gol untuk menang aksi ini,” ungkap Steinbruckner.
“Tetapi saya masih ingat bagaimana Liridon [Krasniqi] terlepas pada minit pertama, kemudian Adisak [Kraisorn] satu lawan satu dengan penjaga gol, diikuti Sony [Norde] dua kali mencuba dan kami hanya berjaya menjaringkan gol sebelum babak pertama berakhir,” tambahnya lagi tentang perlawanan.
“Kami tunjukkan karekter sebenar,” tegasnya lanjut tentang kekalahan itu.
Terengganu bermula baik seawal minit pertama lagi apabila Liridon gagal menafaatkan peluang terbuka di depan gawang tuan rumah dengan rembatan melewati palang gol dan tidak menggugat Sikh Izhan Nazrel.
Minit ke-12, penyerang Thailand, Adisak pula terlepas peluang meledak jaringan sulungnya di Liga Super apabila percubaannya ditepis Sikh Izhan.
Adisak Kraisorn nets his first goal for Terengganu FC ⚽️ pic.twitter.com/Bl9dXzbiL6
— Thai League Central (@TL_Central) March 16, 2023
Ia diikuti percubaan Sony Norde yang berjaya dikekang benteng pertahanan Negeri Sembilan selepas itu. Deretan peluang yang tersia-sia begitu sahaja.
Dan The Jangs yang akhirnya membuka akaun jaringan terlebih dahulu pada minit ke-28 menerusi pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Levy Madinda. Rahadiazli Rahalim tertewas buat kali pertama pada saingan musim ini selepas kebal dalam dua aksi ketika bertemu KL City dan PDRM.
Ia adalah hasil kombinasi dua pemain yang tidak beraksi ketika dibelasah 0-7 kepada JDT iaitu Madinda yang menerima hantaran Herold Goulon.
Akhirnya Adisak membuka akaun di Liga Super apabila menjaringkan gol di penghujung babak pertama hasil kuisan mudah di depan gawang lawan.
Gol kemenangan Negeri Sembilan menjelma di minit ke-67 menerusi ledakan Casagrande selepas menerima lorongan Tommy Mawat Bada yang menerima hantaran lintang Shahrel Fikri dari sebelah kiri gawang.
“Sebelum gol kedua Negeri Sembilan, kami bermain lebih baik. Ia kekalahan yang menyakitkan kerana kami bermain baik,” ungkap Steinbruckner.