Skuad Harimau Malaya pastinya akan memperoleh pelbagai manfaat jika Tunku Mahkota Johor (TMJ) dilantik sebagai pengurus pasukan menjelang Piala Asia 2023.
Itulah yang dikatakan oleh bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri yang berasakan TMJ perlu diberikan mandat bagi menguruskan Harimau Malaya menjelang kejohanan terbesar mereka sejak lebih 40 tahun.
Tolak ke tepi isu konflik kepentingan memandangkan TMJ adalah pemilik JDT, nilai tambah yang ada padanya lebih besar boleh diperoleh Harimau Malaya.
“TMJ jadi pengurus, skuad negara bakal dapat banyak manfaat.
“Saya rasa tidak ada isu atau masalah untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima TMJ sebagai pengurus pasukan. Pada saya, ianya adalah hubung kait dengan apa yang dilakukan oleh TMJ di JDT yang cuba dibawa ke skuad kebangsaan,” kata Asmawi menerusi Astro Arena.
Dalam masa yang sama, Asmawi juga berasakan yang kredibiliti yang ada pada TMJ akan memberikan kelebihan kepada Harimau Malaya apabila hadir ke Piala Asia kelak.
“Pada saya, kredibiliti itu ada pada segala-galanya. Dari segi jaringan, kenalan, pengurusan, kemampuan, bajet, semuanya ada pada TMJ.
“Jadi pada saya, tak salah dan bersedialah pada FAM sendiri untuk menerima kalau TMJ setuju atau TMJ mulakan hasrat kerana pada saya ini lebih kebaikan pasukan negara dan sasaran itu lebih jelas apabila kita di Piala Asia kelak,” ulas Asmawi lagi.
"TMJ jadi pengurus, skuad negara dapat banyak keuntungan" – Pemerhati Bola Sepak, Asmawi Bakiri
Saksikan Nadi Arena setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.30 malam di Astro Arena 801HD!#NadiArena #AstroArena pic.twitter.com/W5b5HYUDXd
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) February 8, 2023
Di pihak FAM, mereka tidak menolak kemungkinan akan melantik TMJ sebagai pengurus pasukan bagi skuad negara.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata pihaknya tidak menolak mentah-mentah untuk melantik pemilik JDT itu menguruskan Harimau Malaya.