Sean Dyche menikmati permulaan impiannya selaku pengurus baharu Everton selepas mengejutkan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dengan kemenangan 1-0 di Goodison park.
Dyche yang baru sahaja dilantik menggantikan Frank Lampard yang dipecat berjaya membuktikan pelantikannya adalah cukup tepat dalam misi membawa keluar Everton daripada zon penyingkiran.
Tandukan James Trakowski pada babak kedua hasil hantaran sepakan penjuru Dwight McNeil memastikan Everton memungut tiga mata penuh dan naik ke tangga ke-17 liga.
Skuad The Toffees sepatutnya berpeluang mendahului lebih awal lagi selepas memperoleh beberapa peluang termasuk daripada Dominic Calvert-Lewin dan Conor Coady.
Arsenal pula bergelut untuk menembusi gawang tuan rumah meskipun pembelian terbaharu Leandro Trossard sempat menguji Jordan Pickford pada lewat permainan.
Kekalahan Arsenal masih tidak menggugat kedudukannya selaku pendahulu liga dengan kelebihan lima mata. Namun ia bakal berkurangan kepada dua mata sahaja sekiranya pencabar terdekat Manchester City menewaskan Tottenham Hotspur.