Manchester United berjaya menamatkan badi keputusan buruk berdepan seteru setempat Manchester City selepas mencatat kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford.
Marcus Rashford meneruskan rentak cemerlangnya dengan muncul penjaring gol kemenangan pada minit ke-82, hanya empat minit selepas gol penyamaan kontroversi Bruno Fernandes.
Manchester City mendapat gol pendahuluan menerusi tandukan Jack Grealish pada minit ke-60 yang juga merupakan satu-satunya percubaan tepat ke arah gol pasukan tersebut sepanjang 90 minit perlawanan.
Namun pada minit ke-78, timbul perdebatan mengenai jaringan Fernandes apabila hantaran Casemiro dikejar oleh Rashford yang berada pada kedudukan ofsaid walaupun tidak menyentuh bola.
Meskipun penjaga garisan pada awalnya telah mengangkat bendera, namun semakan VAR mengesahkan gol tersebut dan mendapat bantahan daripada pemain-pemain City.
Hanya 39 saat selepas permainan bersambung, gerakan Alejandro Garnacho di sebelah kiri menghasilkan hantaran tepat kepada Rashford yang mudah menolak masuk gol kedua United.
Kemenangan tersebut meletakkan United naik ke tangga ke tiga liga memintas Newcastle United dengan 38 mata, hanya satu mata di belakang City.
The Citizen pula jelas bergelut dalam perlawanan ini untuk menampilkan aksi terbaik dan penyerang sensasi mereka Erling Haaland juga gagal untuk menghasilkan sebarang percuban tepat ke arah gol.