Nguyen Tien Linh – Si ‘Kepala Emas’ Vietnam Yang Bermula Sebagai Penjaga Gol

Nguyen Tien Linh Vietnam si Kepala Emas

Vietnam dan Park Hang-seo sememangnya beruntung memiliki penyerang tinggi lampai, Nguyen Tien Linh atau si ‘Kepala Emas’ skuad Naga Emas.

Penyerang terbaik era kini Vietnam itu sangat berbahaya ketika perebutan bola di udara dan ini telah dimanfaatkan sebaiknya oleh pengendalinya.

Daripada enam gol yang diledaknya, empat gol merupakan hasil daripada tandukkan. Statistik ini menunjukkan beliau memiliki tandukkan merbahaya.

Beliau kini bersaing dengan penyerang veteran Thailand, Teerasil Dangda untuk Kasut Emas di kejohanan Piala AFF 2022 kali ini. Masih berbaki satu aksi dan kedua-duanya akan saling bertempur di Stadium Thammasat – bukan sahaja untuk kejuaraan, malah untuk status penjaring terbanyak.

Aksi final pertama di Stadium My Dinh pada Jumaat menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2, memberi sedikit kelebihan buat Thailand atas faktor gol di tempat lawan sebelum aksi kedua pada Isnin.

Tien Linh menyumbang satu gol – menerusi tandukkan, yang merupakan gol pembukaan perlawanan selepas menerima hantaran Que Ngoc Hai.

Namun, Thailand bangkit dengan dua gol hasil ledakan Poramet Arjvirai dan Sarach Yooyen di awal babak kedua. Dua jaringan itu hampir membuatkan Vietnam berputih mata di halaman sendiri, namun hadir Vu Van Thanh menjadi penyelamat, dua minit sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil.

Dengan ketinggian 178cm, antara yang tertinggi di kem Vietnam, beliau sentiasa menjadi sasaran jika ia melibatkan bola tinggi dan tiada satu pun yang dilepaskannya begitu sahaja. Bola di udara adalah kelebihannya.

Kemampuannya untuk mencipta jaringan menerusi tandukkan sudah tidak boleh dibendung sesiapa, membuktikan beliau amat cemerlang di udara.

Tetapi ini tidak bermakna beliau tidak memiliki kemampuan melakukan rembatan yang baik. Saksikan jaringan menariknya ketika menewaskan UAE 1-0 di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 pada November 2019.

Ia menjadi sebutan ramai, malah ada yang mengatakan, tiada mana-mana penjaga gol pun mampu menyelamatkan rembatan padu Tien Linh itu.

Siapa mampu menafikan kemampuan pemain yang menerima tunjuk ajar daripada penyerang terbaik Vietnam satu masa dahulu, Nguyen Anh Duc itu. Sejak dari usia 13 tahun, Tien Linh telah berlatih bersama Anh Duc di kelab Vietnam, Becamex Binh Duong – kelab pertamanya ketika di usia remaja.

Kini berusia 25 tahun, beliau sudah membuat 38 penampilan dan meledak 18 gol bersama Vietnam sejak penampilan pertama pada 2018. Dan ia sudah melebihi jumlah penampilan dan jaringan ‘tok gurunya’, Anh Duc – 36 penampilan dan 12 gol. Anh Duc kini adalah pembantu Park Hang-seo.

Siapa yang mampu melihat masa depan? Tien Linh tidak pernah mengenali bola sepak apabila hanya didendangkan kesedihan masalah keluarganya.

Namun, disebabkan ajakan rakan-rakan di padang bola sepak, beliau mula terjebak dan ketika itu beliau berusia enam tahun. Ia telah membantunya mengatasi rasa sedih ketiadaan ibunya disisi akibat penceraian mereka.

Beliau tinggal bersama bapanya dan mewakili daerahnya untuk kejohanan bola sepak sebagai penjaga gol. Namun, disebabkan ketiadaan penyerang, beliau diletakkan di posisi itu sebagai sandaran dan keputusannya amat mengecewakan. Beliau gagal mengawal bola apatah lagi menyepak.

Sehinggalah pada usia 13 tahun, kelab Becamex Binh Duong berminat untuk mengambilnya menyertai skuad muda mereka dan beliau secara ekslusif menerima latihan bersama Anh Duc – penyerang terbaik kelab.

Namun, perjalanannya untuk bersama skuad kebangsaan tidaklah mudah. Beliau perlu bersaing dengan beberapa pemain senior yang seringkali memintas slotnya waima beliau cemerlang di saingan domestik.

Musim terbaiknya adalah pada 2018 – 19 penampilan dengan 15 gol, dan ketika itulah Park memanggilnya untuk bersama skuad utama. Sebelum itu, namanya tenggelam waima rakan seusianya telah bermain di dua edisi Sukan SEA (2015 dan 2017). Beliau dikata lemah dan tidak bersemangat.

Di saat rakan sebayanya seperti Nguyen Quang Hai, Ha Duc Chinh, and Tran Dinh Trong mencipta sensasi di Kejohanan AFC B-23 2018 – mara ke final, Tien Linh tiada dalam skuad tersebut akibat cedera. Beliau sekali lagi tersisih untuk saingan Sukan Asia 2018 – tempat ke-4 kejohanan.

Malah di kempen Piala AFF 2018, beliau hanya berada di belakang rakan seusianya, Duc Chinh selain beberapa lagi pemain senior yang lain.

Apabila mula secara kerap diberikan kepercayaan oleh pengendali kelahiran Korea Selatan itu, beliau memperbaiki permainannya. Apabila kehilangan bola, beliau akan kembali memburunya. Apabila memiliki penguasaan, Tien Linh akan cuba bergerak membantu dan memilih tempat yang sesuai.

Malah, Tien Linh memanfaatkan kelebihannya untuk menggembirakan Park iaitu menerusi tandukkannya sehingga digelar sebagai si ‘Kepala Emas’.

Kini Vietnam sudah memiliki pengganti Anh Duc dan tentunya beliau akan terus menyinari skuad Naga Emas dengan gol menerusi tandukkannya!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN