Peminat Liga Perdana Inggeris (EPL) berpeluang untuk menyaksikan nama ikonik ‘Beckham’ kepada mewarnai kancah bola sepak England selepas Romeo Beckham telah sah menyertai Brentford.
Anak kepada David Beckham berusia 20 tahun itu dipinjam dari kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami sehingga penghujung musim ini.
Langkah tersebut diharapkan dapat mencipta impak positif bagi meneruskan legasi ‘Beckham’ selepas pemain berusia 20 tahun itu membuat 20 penampilan bersama Inter Miami II dalam kancah MLS Next Pro pada musim lalu.
Bagaimana laluan Romeo untuk beraksi di EPL bukanlah mudah memandangkan usianya yang masih muda dan perlu membuktikan kemampuannya bersama pasukan simpanan terlebih dahulu.
“Brentford berbesar hati untuk mengumumkan kehadiran Romeo Beckham daripada Inter Miami CF secara pinjaman hingga akhir musim 2022-23,” kata kelab tersebut menerusi siaran medianya.
Romeo pada Oktober tahun lalu pernah menjalani latihan bersama pasukan remaja Brentford dan pernah juga menyertai akademi Arsenal pada 2014.
Sekiranya berpeluang untuk diturunkan untuk aksi EPL, nama David dan Romeo Beckham akan tercatat dalam senarai bapa dan anak yang beraksi di liga paling popular itu mengikut jejak Peter dan Kasper Schmeichel, Gordon dan Gavin Strachan, Kevin dan Tyrese Campbell, Steve dan Alex Bruce serta Paul dan Tom Ince.