‘Tak Belajar Daripada Kesilapan Lalu’ – Kenapa Penyokong Thailand Kecewa Dengan Sanrawat Dechmitr?

Sanrawat Dechmitr Thailand terjah Saddil Indonesia penyokong kecewa

Kenapa para penyokong Thailand dilihat teramat kecewa dengan insiden melibatkan pemain tengah, Sanrawat Dechmitr dalam aksi semalam?

Hanya sempat tampil 17 minit, pemain Thailand, Sanrawat Dechmitr terus menerima layangan kad merah atas terjahan kerasnya ke atas pemain Indonesia, Saddil Ramdani di saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Ini merupakan penampilan pertamanya di Piala AFF sejak kembali ke skuad kebangsaan, baru-baru ini. Kali terakhir Sanrawat tampil di kejohanan dwi tahunan ini adalah pada edisi 2018 – disingkir Malaysia di semifinal.

Kali terakhir beliau bermain bersama skuad kebangsaan pula adalah pada Oktober 2019 sebelum terima panggilan semula untuk Piala AFF kali ini.

Semua tahu hubungan rapatnya dengan pengendali Thailand ketika ini, Mano Polking dan mungkin atas sebab itu beliau telah dipanggil semula.

Malah prestasi baiknya bersama pasukan pinjamannya, Kedah Darul Aman FC memikat bekas pengendalinya di Bangkok United itu memanggilnya.

Selepas sekian lama tidak bersama Gajah Perang, mungkin penyokong Thailand sudah boleh menerimanya kembali selepas insiden pada 2019.

Tetapi beliau meragut semula kepercayaan yang diberikan penyokong dengan satu terjahan keras hingga dilayangkan kad merah di minit ke-62.

Itu merupakan penampilan pertamanya selepas tiga perlawanan. Beliau belum diturunkan beraksi ketika menang ke atas Brunei dan Filipina.

Mujur buat mereka, Sarach Yooyen menyelamatkan maruah Thailand untuk jaringan penyamaan pada minit ke-79 bagi mengikat skuad Sang Garuda.

Sebelum itu, Marc Klok berhasil meledak gol apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50 berpunca daripada kesilapan Theerathon Bunmathan yang menahan bola dengan tangan dalam kotak penalti.

Indonesia tidak memanfaatkan kelebihan seorang pemain dimiliki mereka, malah melepaskan gol penyamaan buat lawan untuk berkongsi mata.

Akaun Twitter, All Things Thai Football membuat ciapan mengenai insiden tersebut, “Kad merah Sanrawat. Dia tak belajar daripada kesilapan lalu.

Kenapa mereka kecewa dengan Sanrawat? Apa yang Sanrawat pernah lakukan sebelum ini sehingga penyokong Thailand berasa sangat kecewa?

Ini mungkin ada kaitan dengan insiden pada Mei 2019 di mana Sanrawat pernah menerima hukuman gantung lapan perlawanan dan turut didenda 120,000 baht (RM15,298.44). Mengapa berat sungguh hukumannya?

Ia berpunca daripada tindakannya menumbuk pengadil perlawanan dalam satu perlawanan Thai League 1 antara Bangkok United dan Port FC.

Selepas kes itu, beliau menerima kecaman penyokong Thailand dan beliau akhirnya meminta agar namanya digugurkan daripada skuad kebangsaan.

Ini kerana, sebelum itu, FA Thailand secara terpaksa menarik semula penggantungannya disebabkan tidak mahu kecundang di kejohanan tahunan anjuran mereka, King’s Cup edisi 2019. Semua tahu kehebatannya dalam menjadi arkitek pasukan dan pengendali Gajah Perang, Sirisak Yodyardthai memerlukan kudratnya di padang pada edisi tersebut.

Waima beliau mungkin pernah menjadi kegemaran para penyokong dek kerana kemampuannya mengemudi jentera tengah, tetapi kini tidak lagi.

Sejak itu, beliau tidak lagi menyarung jersi skuad kebangsaan Thailand.

Mungkin ini juga faktor prestasinya merosot malah dua musim dipinjam keluar oleh Bangkok United ke Ratchaburi FC dan Kedah Darul Aman FC.

Malah menurut laman Twitter itu lagi, sejak dari usia mudanya, Sanrawat sangat dikenali dengan permainan kerasnya dan antara pemain yang sangat sinonim dengan layangan kad merah. Tambah mereka, “Usianya sekarang sudah 33 tahun, tetapi dia tidak pernah matang. Kita seharusnya tidak memberikannya peluang bersama skuad kebangsaan lagi.

Tambahan pula, dalam sebuah rancangan digital, podcast dari Indonesia, ManToManMarking, dalam episod, ‘Bad Boys in Asian League‘ pada tahun 2020, mereka turut bersetuju ketika itu untuk menyenaraikan Sanrawat sebagai antara pemain yang layak digelar ‘budak nakal’ di Thai League sebaris dengan Eric Cantona dan Luis Suarez di luar negara.

Begitupun, di Liga Super Malaysia, rekodnya baik, hanya dua kad kuning dalam 13 penampilan dan tidak pernah diarah keluar padang musim lalu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN