Melengkapkan salah satu persinggahan bagi bagi Travelog Piala AFF 2022 adalah bandaraya Bangkok yang jaraknya sejauh 938 kilometer (km) dari Hat Yai.
Perjalanan memerlukan sekurang-kurangnya 13 jam dengan bas atau 20 jam dengan kereta api. Tetapi atas faktor cuaca dan bencana alam menjadikan tempohnya lebih panjang seperti yang diperincikan dalam fasa travelog yang lepas.
Baca travelog fasa kedua di sini:
Travelog Piala AFF 2022: Cabaran Banjir Besar Di Selatan Thailand
Keunikan pasar Mae Klong
‘Mukaddimah’ bagi persinggahan di ibu negara Thailand ini adalah Pasar Kereta Api Mae Klong yang memiliki tarikannya tersendiri dan sudah pun berusia lebih satu abad.
Terletak 80 km dari Bangkok, para peniaga di pasar ini menjual barang mentah dan cenderahati dan terdapat juga kedai-kedai makan di tepian rel kereta api yang dijadikan laluan bagi pengunjung.
Namun sebaik sahaja tiba masanya, kesemua barangan dan payung akan dialihkan bagi memberi laluan kepada kereta api yang masih aktif dengan kekerapan lapan kali sehari berulang alik dari stesen Mae Klong ke stesen Ban Laem.
Meskipun ia kelihatan seperti ‘membahayakan’, namun para peniaga dan pengunjung telah diberikan had garisan yang membataskan keberadaan mereka semasa kereta api melewati setiap bahagian pasar yang panjangnya sekitar 100 meter tersebut.
Taking you on a tour through the Mae Klong Train Market. The market provides local cuisine, fruits and BBQ, to all kinds of beverages. Also sold are imitation clothing and goods. 🚂🇹🇭 #trainmarket #Bangkok #TravelTuesday pic.twitter.com/LNswo0EIKt
— Ann Tran (@AnnTran_) September 18, 2018
Pemandangan terbaik adalah bagaimana semua barangan dan payung akan disusun semula seperti serta merta oleh para peniaga sebaik sahaja kereta api melepasi kedai-kedai mereka.
Bangkok kota bola sepak
Kesempatan di Bangkok juga dapat diisi dengan menziarah dua stadium utama bagi skuad kebangsaan Thailand iaitu Stadium Nasional Supachalasai dan Stadium Nasional Rajamanggala.
Kedua-dua venue ini masih digunakan secara aktif, namun Stadium Rajamanggala lebih menjadi pilihan disebabkan kelebihan kapasitinya yang mempunyai 51,552 tempat duduk berbanding hanya 19,793 untuk Stadium Supachalasai.
Kedua-dua stadium ini boleh diakses dengan mudah menggunakan rangkaian pengangkutan awam sama ada kereta api (BTS/MRT), bas atau bot.
Kali terakhir Malaysia beraksi di Stadium Ramanggala adalah ketika perlawanan separuh akhir Piala AFF 2018 yang berakhir dengan keputusan 2-2, namun skuad Harimau Malaya layak ke peringkat akhir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.
Daripada 16 pusukan liga utama atau Thai League 1, lima daripadanya berpangkalan di Bangkok iaitu True Bangkok United, Bangkok Glass (BG) Pathum United, Muangthong United, Polis Tero dan Port FC.
Kemudian bagi divisyen kedua atau Thai League 2 pula terdapat empat pasukan dari bandaraya ini iaitu Rajpracha, Kasetsart, Customs United dan Samut Prakan City.
Ini tidak termasuk 14 kelab bersaing di liga semi-pro divisyen ketiga atau Thai League 3 bagi zon Bangkok yang menjadikan ‘limpahan’ kelab bola sepak di metropolitan yang mempunyai kepadatan sekitar 14 juta orang penduduk ini.
Stadium bola sepaknya sahaja sukar untuk mendapatkan data yang tepat. Namun berdasarkan senarai pasukan-pasukan bertanding di tiga liga utama dan pasukan-pasukan semi-pro yang lain ianya melebih 30 buah stadium yang digunakan secara aktif.
OFFICIAL: AFC choose Chang Arena Buriram replacing Chiangmai Stadium for 2020 AFC U23 Championship in Thailand. The stadium for this tournament will be:
– Rajamangala Stadium
– Thammasat Stadium
– Tinnasulanon Stadium
– Chang Arena Stadium#AFCU23 pic.twitter.com/MmG7j7SSzg— All Things Thai Football 🇹🇭 (@ThaiFootballs) September 24, 2019
Antaranya adalah Stadium Thammasat dengan kapasiti 25,375 tempat duduk, Stadium Universiti Chulalongkorn (25,000), Stadium Tentera Thai (20,000), Stadium Thupatemi (20,000) Stadium BG (10,114), Stadium Thunderdome (15,505), Stadium PAT (12,308) Stadium Thai-Japanese (10,320), Stadium Min Buri (8,500), Stadium Bang Mod (8,000) dan banyak lagi stadium-stadium kecil yang lain.
Statistik ini jelas menunjukkan bahawa Bangkok adalah ‘pasak utama’ kepada pembangunan bola sepak di negara gajah putih ini sehingga mampu menjadi ‘kuasa besar’ di rantau Asia Tenggara.
Permusuhan atau derbi setempat ini juga dapat menjamin kemeriahan bola sepak itu sendiri selain mampu menjadikan kepelbagaian ‘fan base’ sebagai langkah untuk mencipta lebih banyak manfaat ekonomi sama ada kepada kelab mahu pun penduduk tempatan.
Thailand fans created an unbelievable atmosphere here at the Thammasat Stadium 🇹🇭🏟💯😍🙌🏼#AFCU23 pic.twitter.com/sBCZalpzDo
— AFC (@theafcdotcom) January 18, 2020
Untuk membuat perbandingan dengan negara kita, bandaraya Kuala Lumpur hanya memiliki satu kelab bola sepak profesional iaitu Kuala Lumpur City dan lima stadium bola sepak iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, Bola Sepak Kuala Lumpur, Stadium Negara (Merdeka), Stadium Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Arena Universiti Malaya (UM).
Jika ditambah dengan kelab bola sepak dan stadium yang terdapat di Lembah Klang, ia masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan jumlah yang terdapat di Bangkok.
Pembangunan yang sistematik
Akademi-akademi bola sepak tempatan dan antarabangsa juga kebanyakannya berpusat di ibu kota negara berkenaan. Ia sekaligus menjadikan program pembangunan bola sepak akar umbi Thailand cukup berkesan untuk menghasilkan bakat-bakat baharu pada masa hadapan.
Malah kewujudan 17 kampus universiti sukan nasional yang didanai oleh kerajaan telah melahirkan graduan-graduan berkualiti.
Ia adalah langkah bagi menjayakan pelan pembangunan sukan kebangsaan dengan visi menjadikan Thailand sebagai sebuah negara di mana setiap individu mengambil berat tentang sukan yang dapat menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi.
Ini termasuklah penghasilan guru-guru pendidikan jasmani yang berkualiti bagi membantu pembentukan atlet sejak di peringkat sekolah lagi.
Merungkai Kewujudan 17 Kampus Universiti Sukan Di Thailand, Bukti Malaysia Sudah Jauh Ketinggalan
Penutup
Bagi ke destinasi seterusnya iaitu Vientiane, jaraknya adalah sekitar 650 km dari Bangkok.
Perjalanan ke ibu kota Laos ini adalah menggunakan kereta api menuju ke Nong Khai dengan tiket katil kelas kedua yang berharga 998 baht (RM128) bagi katil bawah dan 898 baht (RM115) bagi katil atas.
After we left the station, an attendant came around to make up the beds. One person gets the lower berth and the person in the other seat gets the upper berth. Down below I have a window with curtains. Up above they are nearer the light and cold air-con. I prefer the lower berth. pic.twitter.com/FnSFzuVknV
— Richard Barrow (@RichardBarrow) December 23, 2021
Kereta api tersebut bertolak pada jam 8.00 malam dan tiba di Nong Khai pada jam 6.45 pagi keesokannya. Kemudian disambung pula dengan khidmat tuk tuk untuk ke sempadan Laos.
Selesai sahaja urusan di Imigresen Thailand, tambang bas sebanyak 35 baht (RM4.50) dikenakan untuk menyeberangi Sungai Mekong melalui ‘Friendship Bridge’ sehingga tiba di Imigresen Laos di Thanaleng bagi pemeriksaan selanjutnya.
Untuk ke Stesen Bas Vientiane yang berbaki 18 km, tiket bas awam hanyalah 20 baht (RM2.60) bagi menoktahkan travelog fasa ketiga ini.