‘Tiket Nak Murah, Tapi …’ – Takkan Tak Belajar Daripada Jepun Di Piala Dunia

Piala Dunia Penyokong Malaysia Jepun Lepas Perlawanan

Tular keadaan di tempat duduk penyokong di SNBJ selepas perlawanan tempohari dan terfikir sesuatu, adakah kita tak belajar langsung dengan ‘persembahan’ penyokong dan pemain-pemain Jepun di Piala Dunia 2022.

Apabila tular apa yang dilakukan penyokong dan pemain-pemain Jepun, majoriti pengikut bola sepak di Malaysia pun ikut kagum dan menambah sensasi cerita itu dengan berkongsi menularkannya di media sosial.

Tetapi kerancakan ini hanya berlaku di media sosial. Realitinya, penyokong atau pengikut bola sepak di Malaysia masih bermentaliti sama dan statik.

Sampah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tempohari sudah cukup menceritakan segalanya tentang sikap dan mentaliti sebilangan besar kita.

Perkongsian ini mungkin hanya sebahagian kisah dari satu sudut stadium. Bagaimana keadaan di seluruh bahagian stadium selepas aksi tempohari?

Sikap kutip semula sampah ini bukanlah sesuatu yang baharu di kalangan penyokong Jepun. Malah, apa yang dilakukan mereka tidak mengira tempat duduk sendiri mahupun lawan. Selain itu, ia juga bukanlah hanya ketika aksi antarabangsa, tetapi berlaku dalam perlawanan-perlawanan domestik juga.

Tambah mengagumkan, mereka tetap kutip sampah biarpun Jepun kalah.

Sebelum ini, kita pernah dihidangkan gambar-gambar penyokong Jepun mengutip semula sampah selepas berakhir perlawanan di Piala Dunia 2014. Dan perkara ini berulang di edisi 2018 dan 2022. Dalam salah satu situasi selepas aksi Jepun menentang Colombia, ini komen penyokong lawan.

“Tengok apa orang Jepun ini buat. Mereka menang, tetapi lihat apa yang mereka lakukan. Mereka memungut sampah. Ini menakjubkan. Dan kami, orang Colombia, seperti orang bodoh yang tidak memahami disiplin dan tertib. Itu yang menjadikan mereka lebih baik. Lihat! Ini satu pengajaran untuk kami.”

Penyokong Colombia di Stadium Mordovia Arena, Piala Dunia 2018

Ia menjadi ikutan apabila penyokong Colombia turut membuat perkara yang sama, malah penyokong Senegal turut dilaporkan melakukan yang sama!

Itu kisah penyokong mereka. Bagaimana dengan pasukan Jepun sendiri?

Situasi yang sama sebenarnya berlaku di kem ‘Samurai Blue’. Mereka akan kemas semula bilik persalinan selepas digunakan dalam setiap perlawanan. Ia bukanlah gimik mereka kerana dalam setiap edisi Piala Dunia, inilah yang berlaku. Walaupun ada yang cuba memburukkan mereka, ia tidak menjadi.

Kelakuan ini menggambarkan ini adalah rutin dan normal bagi mereka.

Bak video ini yang cuba merungkai sikap penyokong Jepun yang suka membersihkan semula tempat duduk penyokong, jawapan majoriti daripada mereka adalah, “Atarimae“. Ia membawa maksud ‘itu normal’.

Berikut adalah antara jawapan yang diperolehi oleh Sandra Gathmann.

“Apa yang kami diajar adalah tinggalkan tempat itu dalam keadaan yang lebih bersih berbanding ketika kami temuinya – itu Atarimae. Itu cara untuk kami tunjukkan rasa syukur kami”

“Untuk kemaskan dan bersihkan tempat yang kami akan tinggalkan adalah manifestasi budaya kami.”

“Ini kerana sedari kecil kami telah diajar oleh ibu bapa dan sistem pendidikan kami [tentang kebersihan].”

“Setiap hari [di sekolah], kami diajar untuk bersihkan kelas, ruang legar sekolah, tandas dan segalanya dengan sendirinya. Jadi, mungkin benda ini telah menjadi kebiasaan di kalangan kami.”

Ia mungkin sudah meresap ke dalam jiwa mereka menjadikannya budaya dalam kehidupan. Ia adalah rutin dan kebiasaan dalam hidup mereka.

https://twitter.com/ChrisGurr/status/1599879652905844736

Jadi, tidak pelik, tabiat ini terbawa-bawa ke dalam stadium sekalipun.

Salah untuk menyalahkan sepenuhnya penyokong kita. Ini bukan rutin atau tabiat kita. Tiada penekanan diberikan tentang kebersihan – jikalau ada pun sekadar pembelajaran secara teori bukan praktikal di bangku sekolah.

Malah, jika anak didenda untuk membersihkan tandas di sekolah sekalipun, pasti akan ada segelintir ibu bapa di Malaysia yang akan ‘melompat’!

Untuk mendapat hasil sebagaimana yang Jepun amalkan ketika ini, ia perlu diterapkan sedari di usia kanak-kanak. Dan semua ini bermula dengan kita.

Jika kita masih sama – membuang dan membuat sampah merata-rata serta tidak membersihkan semula kekotoran yang dibuat, anak kita akan melakukan yang sama. Pasti kita pernah dengar, bapa borek, anak rintik.

Asasnya adalah sikap, Bagaimana sikap mahu dibentuk dan dikekalkan? Sama-samalah kita dalaminya agar satu masa nanti, kita juga boleh jadi contoh, ikutan dan pedoman kepada sekelompok manusia yang lain.

Janganlah hanya ketika mahu harga tiket yang lebih murah atau padang teruk sahaja kita ‘melalak’, isu sampah ini juga perlu dipandang sama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN