Piala AFF 2022: Ini Kisah Aguero Yang Ledak Gol Sulung Bersama Malaysia

Sergio Aguero Malaysia Piala AFF 2022

Nama Sergio Aguero tidaklah terlalu besar seperti rakan-rakan naturalisasi yang lain, namun jiwanya amat besar untuk bermain bersama Malaysia.

Kata-katanya kepada pihak media ketika namanya terpilih ke kem Harimau Malaya jelas menunjukkan beliau sayangkan negara ini sebagaimana Lee Tuck yang sentiasa memilih untuk terus kekal bermain di Malaysia.

Jiwa mereka sejak awal terikat dengan Malaysia tanpa sebarang syarat.

Ungkapnya tentang Malaysia, “Saya di sini selama enam tahun, saya dapat banyak tawaran dari luar dan saya sentiasa memilih untuk berada di sini kerana saya cintakan negara ini dan saya sayang semuanya di sini.

Beliau tiba di Malaysia sejak musim 2017, bermain bersama Melaka United, namun ia bukanlah musim yang baik buat dirinya sebagai pemain import.

Tiada jaringan mampu dihasilkannya di musim pertamanya di Malaysia waima namanya menghadirkan gerun kepada yang mendengarnya.

Namanya sama dengan penyerang terkenal dunia yang juga berasal dari Argentina, tetapi impaknya di Liga M ketika itu tidak dirasai langsung.

Beliau bukanlah Aguero yang kita kenali sebagai peledak sejati bersama skuad kebangsaan Argentina dan menantu kepada Diego Maradona itu.

Bukan hanya negara luar tidak mengenali susuk tubuh ini, malah ada juga di Malaysia yang ‘meraba-raba’ dalam gelap jika ditanyakan siapa beliau.

Bukan hanya ketika bersama skuad Hang Tuah, tetapi hampir keseluruhan kariernya, namanya tidak pernah jadi sebutan dek kerana kurang meledak gol. Indikasinya, penyerang import wajib menjadi mesin gol pasukan.

Beliau memang boleh beraksi sebagai penyerang. Tetapi, beliau lebih berkesan sebagai pemain tengah menyerang atau penyerang kedua.

Aksinya bersama Pulau Pinang (kini Penang FC) adalah yang terbaik apabila membantu mereka untuk meraih promosi ke Liga Super 2020 sebelum ia dinafikan kerana pemotongan mata akibat masalah tunggakan gaji.

Penyokong Penang tentu masih mengingati trio ABC mereka pada musim tersebut – Aguero, Bottaro dan Casagrande. Ketiga-tiganya membentuk gandingan yang menjulang pasukan meraih promosi ke Liga Super.

Kehadirannya bersama Casagrande di jendela perpindahan kedua Liga M menyaksikan nasib Penang berubah secara total dengan kedua-duanya meledak 13 gol – lapan gol oleh Casagrande dan lima gol oleh Aguero.

Dibawa masuk oleh Manzoor Azwira di saat prestasi pasukan dilihat agak menggusarkan, beliau tampil beraksi sebagai penyerang sayap kepada Casagrande dan beliau turut dibantu oleh pemain sedia ada, Bottaro.

Ketika ditanya oleh SemuanyaBOLA, ini maklumat yang dikongsikan oleh Manzoor. “Dia [Aguero] lebih kepada pemain nombor 10.

Kelebihan dia adalah pemain yang ada ‘vision’, boleh buat hantaran dan ‘assist’ yang baik serta ada teknik yang bagus. Tapi boleh juga main sebagai penyerang,” jelas Manzoor lanjut.

Prestasi Trio ‘ABC’ Kembali Lonjak Kedudukan Pulau Pinang

Selepas dilepaskan Penang pada musim 2020, beliau menyertai pasukan yang bermain di Liga M3, Kuala Lumpur Rovers. Ia seperti beri petanda, ini mungkin pengakhiran kepada karier bola sepak Aguero di Malaysia.

Namun, Sri Pahang seperti memberi nyawa baharu buatnya pada musim 2021 apabila meminangnya untuk kembali ke saingan utama Liga M.

Tidak bertahan lama, pengendali baharu, Thomas Dooley yang dilantik kemudian, melepaskannya secara pinjaman ke Perak di Liga Premier.

Pengendali itu menjelaskan yang Aguero memerlukan minit permainan, bukan sekadar memanaskan bangku simpanan. Mungkin beban Sri Pahang terlalu besar buatnya dan beliau tidak memenuhi selera Dooley sebenarnya.

Dia sentiasa beri yang terbaik dalam sesi latihan dan menerima setiap cabaran yang diberi. Saya akan gunakannya selepas beliau dinaturalisasikan,” antara komen Dooley selepas Tok Gajah meminjamkannya keluar.

Jelas, beliau bukan pemain yang dimahukan sebagai import. Setiap pengendali ada pendekatan mereka yang sendiri yang mahu dicorakkan.

Kembali ke Sri Pahang pada tahun lalu selepas tamat tempoh pinjaman, beliau ‘ditahan’ lagi – pasukan mahu menunggu proses naturalisasinya selesai sebelum didaftarkan. Meraih kewarganegaraan Malaysia pada hujung Ogos lalu, beliau didaftarkan pasukan untuk Piala Malaysia 2022.

Namun, langkah Sri Pahang berakhir hanya selepas dua perlawanan timbal balik berdepan Terengganu FC seterusnya tersingkir dari Piala Malaysia.

Tiada banyak yang mampu diberikan oleh pemain berusia 28 tahun itu setakat ini. Namun, atas kapasiti pemain naturalisasi, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon meletakkan harapan yang tinggi buatnya.

Harus diingat, ramai pemain tonggak tiada dalam skuad Harimau Malaya kali ini dan Kim tentunya mahu melihat kemampuan sebenar Aguero.

Semalam, selepas empat penampilan bersama skuad negara, beliau berjaya mencipta jaringan sulungnya yang juga gol pembukaan Harimau Malaya pada minit ke-29. Hampir setengah jam, barisan pemain yang majoritinya diubah oleh Kim mencari jalan untuk memecah kubu degil Laos.

Sentuhan mudah Aguero di depan gawang memberikan Malaysia jaringan yang dinantikan sebagai pelepas ketegangan yang mungkin sudah mula menyusup masuk akibat gagal meledak sebarang gol setakat itu.

Aksinya seperti selalu, hanya biasa-biasa, namun tetap cuba memberikan yang terbaik, malah terlepas peluang meledak gol kedua selepas itu.

Jika dibandingkan dengan sikap seorang lagi penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula sebelum ini, mungkin kita lebih senang melihat reaksinya yang juga berdepan kritikan seperti De Paula, tetapi masih mampu tersenyum dan melemparkan isyarat ‘love’ kepada kita.

Tiada sisi angkuh diperlihatkannya menjadikannya disenangi ramai.

Malaysia menang 5-0 ke atas Laos dalam aksi kedua Kumpulan B, Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Selain Aguero, turut mencipta gol adalah Faisal Halim (dua gol), Haqimi Azim dan Stuart Wilkin.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN