Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan cef selebriti Salt Bae yang begitu galak meraikan kejayaan Argentina memenangi Piala Dunia 2022 di Qatar tempoh hari.
Salt Bae atau nama sebenarnya Nusret Gokce telah mencetuskan kontroversi selepas beliau secara peliknya mendapat akses untuk turun ke padang untuk meraikan kejayaan Argentina bersama para pemain dan pegawai pasukan.
Bukan saja itu, malah beliau juga didapati memegang trofi Piala Dunia siap mengucupnya sekali dan ini amat tidak disenangi oleh FIFA.
Menurut laporan BBC Sport, FIFA dikatakan mahu menyiasat Salt Bae kerana melanggar peraturan yang mengatakan trofi Piala Dunia itu tidak boleh sewenangnya disentuh oleh orang sebarangan.
Hanya pemain, pegawai FIFA dan ketua-ketua negara sahaja dibenarkan untuk menyentuhnya – apatah lagi menciumnya.
Sebelum ini, Salt Bae menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak dunia apabila muncul di tengah padang bersama-sama skuad Argentina.
Lebih menyakitkan hati, tindakan beliau yang cuba mendapatkan perhatian Lionel Messi membuatkan kapten Argentina itu tidak berpuas hati dan dilihat malas untuk melayan cef dari Turkiye itu.
Malah, dalam rakaman di Instagramnya sendiri turut dilihat yang Salt Bae terlalu mencuba untuk mendakap trofi Piala Dunia itu sehinggakan seolah-olah mahu merampas ia dari pemain Argentina.
Selain itu, beliau juga dilihat mengigit pingat kemenangan salah seorang pemain Argentina ketika keraian itu dilakukan.
Apakah kaitan Salt Bae sehingga beliau dibenarkan untuk bersama skuad Argentina itu masih lagi menjadi misteri.
Ibarat lebih sudu daripada kuah, itulah yang boleh digambarkan buat cef terkenal ini.