Semalam, semua mata tertumpu kepada jersi yang disarung pengendali Argentina, Lionel Scaloni saat beliau meraikan kejuaraan Piala Dunia 2022.
Itu adalah jersi skuad B-20 Argentina yang telah menjulang kejuaraan Piala Dunia Remaja 1997 yang mana Malaysia bertindak sebagai tuan rumah.
Mungkin itu adalah impiannya sejak mula mengendalikan ‘La Albiceleste’ pada November 2018 – untuk menamatkan penantian 36 tahun Argentina bagi menjulang Piala Dunia. Jadi, beliau memilih untuk menyarung jersi tersebut semula di Qatar, malam tadi. Ia malam indah buat kariernya.
Kira-kira 25 tahun lalu, di Stadium Shah Alam, Scaloni dan rakan-rakannya berjaya menjulang Piala Dunia Remaja dan kini tiba giliran Piala Dunia.
Argentina menumbangkan Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti apabila perlawanan terikat 3-3 selepas tamat masa tambahan.
Argentina win the World Cup on penalties! 🏆 @adidasfootball | #FIFAWorldCup
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) December 18, 2022
Scaloni merupakan salah seorang anggota pasukan B-20 Argentina yang mempertahankan kejuaraan mereka yang dijulang di Qatar, dua tahun sebelumnya. Ironinya, ia adalah kejuaraan ketiga mereka ketika itu dan Piala Dunia ini juga adalah yang ketiga selepas 22 edisi Piala Dunia berlangsung.
Terlebih dahulu, Argentina beraksi dalam Kumpulan E bersama Australia, Kanada dan Hungary yang dilangsungkan di Stadium Utama, Kangar.
Tewas mengejut 3-4 di perlawanan terakhir peringkat kumpulan kepada Australia menyaksikan mereka berada di tangga kedua kumpulan dan mara ke pusingan 16 terbaik untuk bertemu England di Stadium Larkin. Mereka menang 2-1 dan mara ke suku akhir dan berhasil menewaskan Brazil, 2-0.
Di separuh akhir, mereka menewaskan Ireland 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di lokasi yang sama ketika mengatasi Brazil, Stadium Sarawak.
https://twitter.com/Fandom_ID/status/1604751218328629250
Melengkapkan perjalanan indah skuad kendalian Jose Pekerman adalah saat menewaskan Uruguay 2-1 di pentas final, di Stadium Shah Alam.
Bermain di posisi bek sayap, Scaloni menyumbang dua gol kepada ‘La Albiceleste’ yang turut dibintangi Juan Roman Riquelme dan Pablo Aimar.
Itu kisah 25 tahun lalu dan kini beliau berjaya menamatkan kemarau Argentina untuk menjulang Piala Dunia selepas era Diego Maradona.
Malam tadi adalah malam gemilang buat Argentina, Lionel Scaloni dan terutamanya Lionel Messi. Akhirnya, beliau berjaya merangkul semua trofi kejuaraan bola sepak yang mampu didakapnya.
Untuk Scaloni, ia adalah kejuaraan ketiga dijulangnya sejak mengemudi pasukan selepas Copa Amerika dan CONMEBOL-UEFA Cup of Champions.
Jersi yang disarung Scaloni itu umpama ‘tribute’ buat skuad B-20 Argentina yang menjulang trofi Piala Dunia Remaja di Malaysia pada 1997.
Apa pula yang menarik tentang skuad Malaysia yang layak atas tiket tuan rumah? Pengendali meningkat naik, Nafuzi Zain berada dalam skuad itu.
Nafuzi Zain: Skuad Piala Dunia Remaja 1997 Tidaklah Gagal Sepenuhnya