Jika anda mengikuti rapat sama ada sebelum atau semasa perkembangan Piala Dunia 2022, pasti dapat melihat pelbagai ramalan demi ramalan memilih pasukan kegemaran masing-masing untuk muncul juara.
Boleh jadi ia tepat boleh jadi ia jauh tersasar.
Namun ramalan dari EA Sports menerusi permainan video FIFA paling mencuri tumpuan apabila kali ini tekaan mereka sekali lagi tepat memilih calon juara untuk edisi 2022 iaitu Argentina.
Tekaan mereka sejak edisi 2010 sehingga 2022, semua tepat. Sesuatu yang agak mustahil namun ia terjadi.
Mereka ini adalah pengeluar permainan video bola sepak yang menjadi kegilaan peminat untuk mendapatkannya setiap kali edisi baharu dikeluarkan.
Malah organisasi ini telah bekerjasama dengan FIFA sejak dahulu lagi.
Mereka ada data pemain secara keseluruhan kerana ia amat penting bagi memastikan maklumat pemain dalam permainan video keluaran dari EA Sports sentiasa tepat.
Persoalannya apakah semua ini sudah dirancang lebih awal untuk memilih siapa juara setiap kali edisi Piala Dunia atau ia hanya sekadar bernasib baik?
Sekali atau dua kali mungkin ianya nasib namun empat kali berturut-turut tekaan juara itu tepat, ia bukan lagi kebetulan tetapi mereka ada ‘bomoh’ yang kuat dapat membantu melakukan ramalan dengan betul.
Ditegaskan sekali lagi, ini hanya ramalan dan siapa sahaja boleh melakukannya namun membezakan adalah ketepatan dan kebijaksaan memilih calon juara serta ‘bomoh’ siapa paling kuat dalam menilik ramalan.
Malah edisi kali ini juga ramai peminat di media sosial mengatakan Lionel Messi adalah anak emas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas beberapa keputusan banyak memilih kepada pasukan Argentina.
Malah, keputusan lain juga kadang-kala banyak memihak kepada Messi sehingga ia menjadi perdebatan di media sosial berkenaan isu tersebut terutama dalam pemilihan pemenangan Ballon d’Or.
Setakat ini pemain berusia 35 tahun itu sudah memenangi tujuh anugerah tersebut. Melihat kejayan Messi menjulang piala paling berprestij di dunia, ada kemungkinan besar anugerah itu sekali lagi akan ditakluk oleh Messi.
Isu pengadil dari Sepanyol, Mateu Lahoz ketika di suku akhir telah mendapatkan kritikan keras dari Messi kerana tidak berpuas hati dengan cara beliau mengadili perlawanan antara Argentina menentang Belanda.
Tidak lama selepas itu, Lahoz terus dihantar pulang dan tiada lagi menjadi sebahagian pengadil untuk baki perlawanana Piala Dunia di Qatar dan ini telah mendapat perhatian peminat bola sepak dari seluruh dunia.
Satu lagi teori yang mungkin dianggap pelik tapi benar adalah di mana bintang utama menyertai Paris Saint-Germain (PSG) setahun sebelum sepak mula Piala Dunia, pasti akan muncul juara untuk edisi kali itu.
Seperti ayat yang popular di zaman sekarang, nampaknya PSG sudah lama merancang tetapi pemain terbaik dunia sahaja lalai dan tidak menyedari hal tersebut.
Disebabkan Messi dan Cristiano Ronaldo saling berlawan menjadi siapa yang terbaik, mungkin beliau boleh mencuba nasib menyertai PSG pada tahun 2025.
Mana tahu edisi Piala Dunia 2026 ia membawa tuah untuk bintang Portugal ini.
Siapa tahu. Tapi itu agak mustahil memandangkan umur beliau semakin meningkat dan sudah hampir usia 40 tahun.