Bagaimana bendera sebuah negara, Maghribi, boleh dikaitkan dengan lambang Black Metal dan ia dilarang untuk digantung di sebuah stadium?
Ia berdasarkan satu perkongsian di sebuah laman sosial penyokong sebuah pasukan. Namun, ia kisah lama yang hanya dikenang semula oleh mereka.
Kisah tersebut berlaku pada tahun 2013, mungkin ketika ledakan isu Black Metal dan ajaran sesat menjadi tajuk-tajuk utama media arus perdana.
Sehinggakan bintang pentagram di bendera Maghribi juga disalah anggap sebagai logo atau lambang aliran muzik Black Metal yang dikatakan sesat.
France has defeated Morocco 2-0 in the semi-finals of the 2022 World Cup.
They made history as the first African team to reach the semi-finals. They also carried the Palestinian flag on the field of one of the largest sporting events in the world. pic.twitter.com/uGZko6IRRA
— MintPress News (@MintPressNews) December 14, 2022
Black Metal adalah satu nama yang amat menggerunkan pada satu ketika dahulu di Malaysia. Ditambah lagi dengan kisah kesesatan pengikut Black Metal yang dikatakan membakar Al-Quran, minum darah kambing, puja setan dan memijak Al-Quran. Kebanyakkan kisah kesesatan pengikutnya diceritakan dalam media arus perdana termasuklah majalah Mastika.
Ini yang mengundang pelbagai persepsi terhadap Black Metal yang pada awalnya merupakan satu aliran muzik selain Heavy Metal dan Trash Metal.
Bintang pentagram yang diguna band-band Black Metal membawa persepsi yang apa sahaja yang berkaitan dengannya adalah bahaya dan sesat.
Menambah rencah, pasukan yang membawa bendera ‘Black Metal’ itu berasal dari utara tanah air, titik fokus kisah kesesatannya bermula.
Namun, kita bukanlah mahu bercerita tentang kisah muzik Black Metal di sini kerana hanya yang mengetahui lebih arif tentang aliran muzik tersebut.
Bertempat di Stadium Perak, penyokong Pulau Pinang (kini Penang FC) pernah berdepan situasi bendera Maghribi dianggap lambang Black Metal.
Ketika itu, menjadi amalan penyokong membawa bendera itu sebagai tanda sokongan kepada pengendali yang juga lagenda, Merzagua Abderrazak.
Malah, ia juga satu kebiasaan mana-mana penyokong pasukan sekalipun.
Namun, ketika berada di stadium untuk menyaksikan perlawanan antara Pulau Pinang dengan Perak YBU FC, petugas di stadium telah meminta untuk bendera Maghribi yang digantung di tempat mereka diturunkan.
Menurut perkongsian oleh laman sosial penyokong, Penang Brotherhood, kejadian itu berlaku pada 2013 ketika pasukan Penang beraksi di Piala FAM.
Dalam perlawanan itu, Harimau Kumbang telah meraih kemenangan 3-2.
Selain itu, ia menjadi musim yang dikenang oleh penyokong apabila mereka menjulang kejuaraan musim itu untuk kembali ke Liga Premier 2014.
“Penyokong Pulau Pinang pernah diminta menanggalkan bendera Maghribi di Stadium Ipoh yang disangka bendera Black Metal oleh petugas stadium,” titip laman sosial tersebut di kala ‘The Atlas Lions’ melakar sejarah baharu di Piala Dunia 2022 di Qatar ketika ini – mara sehingga ke separuh akhir.
Maghribi bukan sahaja melakar sejarah sendiri, malah sejarah buat wakil Afrika di Piala Dunia – negara Afrika pertama yang melangkah sejauh ini.
Ia satu perkongsian yang menarik kerana bendera Maghribi sememangnya ‘lain macam’. Bagi yang tidak tahu yang bendera merah dengan bintang pentagram itu, mungkin pelbagai andaian akan terpancul di minda mereka.
Dengan penyebaran kisah-kisah kesesatan pengikut-pengikut aliran muzik Black Metal di ketika itu ditambah dengan mungkin kecetekan pengetahuan bendera-bendera yang ada di dunia, kita tidak boleh menyalahkan petugas di stadium tersebut. Mungkin mereka sudah termakan kisah kesesatannya.
Sejauh mana kebenaran kisah ini, hanya laman sosial penyokong itu dan penyokong yang ada di Stadium Perak ketika itu yang lebih mengetahuinya.