Menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia 2022 yang mempertemukan antara Perancis dan Maghribi ini, debaran pastinya dirasai oleh para penyokong kedua pasukan tersebut di serata dunia.
Malah, beberapa perbincangan dan teori juga sudah dibuat dalam kalangan penyokong untuk mengetahui negara mana yang bakal melangkah ke pusingan akhir untuk edisi kali ini.
Bekas penyerang Indonesia, Andik Vermansyah antara yang tidak terkecuali untuk turut merasai kehangatan aksi separuh akhir ini sambil turut berkongsi tips mengenai perlawanan tersebut.
Choose your player 🎮
Who goes through to the final? 🇫🇷 🇲🇦#FIFAWorldCup #Qatar2022
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) December 14, 2022
Jelas Andik, Perancis dilihat mempunyai peluang besar untuk mara ke peringkat akhir jika pasukan tersebut tampil lebih santai dan tidak terburu-buru selepas wisel permulaan ditiupkan.
Menurut pengamatan pemain tersebut, kejayaan yang dilakar Maghribi sebelum itu dalam aksi suku akhir itu berlaku kerana Portugal tampil terlalu terburu-buru pada awal perlawanan.
Disebabkan itu, Maghribi mudah untuk mengambil peluang memerangkap lawan dan berjaya meledak gol tunggal seawal minit ke-42 menerusi penyerang mereka iaitu Youssef En-Nesyri.
Maka, Andik menuntut agar Perancis tidak mengulangi kesilapan Portugal dan berharap mereka mampu lebih bersabar untuk aksi separuh akhir ini menunggu peluang terbuka.
“Untuk aksi tersebut, pastinya Perancis akan menguasai perlawanan, jadi mereka hanya memerlukan kesabaran sahaja untuk mendapatkan gol.
“Perlawanan sebelum ini saya tengok Portugal terlalu tergesa-gesa sepanjang permainan sehingga ianya memerangkap diri mereka sendiri.
“Sekiranya Perancis tampil tenang, pada pengamatan saya ianya bukan suatu perkara yang sukar untuk mereka mengatasi Maghribi dengan lebih mudah,” jelas Andik menerusi Bola.com.
Walaupun begitu, pemain Bhayangkara FC ini turut menghormati Maghribi yang telah pun mencipta sejarah negara dari benua Afrika untuk mara ke pusingan separuh akhir.
MOROCCO VS. FRANCE IN THE WORLD CUP SEMIFINALS 🍿 pic.twitter.com/A6mNPUz0cr
— ESPN FC (@ESPNFC) December 10, 2022
Terang bekas pemain Kedah Darul Aman itu, kejayaan Maghribi terhasil menerusi usaha keras yang dipamerkan mereka di atas padang dalam usaha untuk mara lebih jauh.
Secara peribadi, Andik juga menilai tonggak Maghribi iaitu Sofyan Amrabat sebagai salah satu kunci utama kekuatan pasukan tersebut untuk tampil dengan baik.
“Mengenai Maghribi, saya harus akui daripada posisi penjaga gol sehingga depan semuanya bekerja dengan sangat keras.
“Saya suka pemain tengah bertahan mereka yang boleh dikatakan berada dalam kelas tersendiri dan mempunyai mobiliti tinggi. Walaupun beliau tidak mempunyai nama besar, secara keseluruhan Amrabat sangat efektif untuk pasukan,” tambah Andik.