Maghribi mencipta satu lagi kejutan di kejohanan Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Belgium 2-0 di Stadium Al Thumama hasil jaringan lewat permainan oleh Abdelhamid Sabiri dan Zakaria Aboukhlal.
Pada penghujung masa pertama, Maghribi sudah pun menyangka mereka berada di depan apabila sepakan percuma Hakim Ziyech berjaya menewaskan Thibaut Courtois, namun gol tersebut dibatalkan disebabkan kedudukan Romain Saiss di kedudukan ofsaid meskipun pemain pertahanan Besiktas itu tidak menyentuh bola.
Belgium ternyata beraksi di bawah tahap sebenarnya selaku pasukan yang berada di kedudukan kedua dalam ranking dunia FIFA ketika ini.
Courtois selaku penjaga gol berkelas dunia mungkin menjadi invidu yang patut dipersalahkan untuk gol pertama apabila membenarkan bola dari sepakan percuma Sabiri melepasinya ketika perlawanan berbaki 17 minit.
Memasuki masa kecederaan, Ziyech menjadi arkitek pemusnah Belgium selepas hantarannya dari sebelah kanan tepat menemui Aboukhlal yang melepaskan rembatan kencang ke sudut kanan gawanh untuk mengesahkan kemenangan pasukannya.
Ia juga merupakan kemenangan ketiga Maghribi dalam sejarah penyertaan Piala Dunia selepas kali terakhir menang adalah pada edisi 1998.
Pasukan dari utara Afrika itu kini dalam landasan terbaik untuk mara ke pusingan 16 terakhir apabila dijadulakan berdepan Kanada untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan.