- Pasukan: Cameroon
- Benua: Afrika
- Kali terakhir layak: 2014
- Pencapaian terbaik: Suku akhir (1990)
Cameroon hadir ke Qatar 2022 dengan satu gelaran iaitu bakal juara Piala Dunia – menurut Samuel Eto’o.
Itu apa yang dikatakan oleh penjaring terbanyak sepanjang zaman Cameroon, satu kenyataan yang berani dan sukar untuk dipertahankan persis kata-kata Ahmad Maslan mengenai GST satu masa dahulu.
Betul ke apa yang Eto’o katakan ni? Benarkah mereka mampu jadi juara dunia?
Ketepikan cabaran Ivory Coast
Cameroon menempah tempat ke Qatar 2022 dengan bersaing sengit bersama-sama Ivory Coast.
Diletakkan dalam kumpulan D kelayakan zon Afrika dengan tanpa perlu beraksi di pusingan pertama, Cameroon menamatkan saingan dengan hanya dua mata di depan Ivory Coast dengan 15 mata.
Mencatatkan lima kemenangan dan kalah sekali sahaja dalam enam perlawanan, Cameroon menarik nafas lega apabila Ivory Coast ada satu seri dan ini cukup untuk membawa mereka ke pusingan ketiga kelayakan.
Di pusingan ketiga pula, Cameroon berdepan tugas getir apabila diundi bertemu Algeria.
Sengitnya perlawanan melibatkan kedua-dua negara ini hinggakan Cameroon memerlukan kemenangan dengan kelebihan gol di tempat lawan untuk mara.
Ditambah pula, jaringan di masa tambahan memisahkan kedua-dua pasukan!
Bukanlah skuad terkuat
Walaupun Eto’o begitu yakin berasakan Cameroon mampu menjadi juara dunia, akan tetapi sebenarnya skuad yang dibawa bukanlah yang terbaik untuk disaksikan.
Di atas kertas, skuad Cameroon ini bukanlah yang terbaik pernah dibawa ke Piala Dunia jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini.
Majoriti pemain yang dibawa adalah mereka yang beraksi dalam saingan domestik Perancis. Sungguh pun begitu, sandaran untuk mencari gol akan diletakkan kepada Vincent Aboubakar yang beraksi untuk Al-Nassr.
Sungguh pun begitu, mereka mempunyai kualiti di pintu gol dengan Andre Onana akan diharapkan akan menghalang segala percubaan pihak lawan.
Onana yang terkenal dengan kualitinya sebagai penjaga gol sejak dari era Ajax Amsterdam lagi akan menjadi tumpuan dalam kejohanan kali ini.
Lepas dulu kumpulan G
Dianggap mampu membawa pulang Piala Dunia, Cameroon bagaimana pun perlu membuktikan yang mereka adalah pasukan yang berwibawa di kumpulan G terlebih dahulu.
Diundi bersama Brazil, Switzerland dan Serbia, kualiti pasukan dilihat seimbang dengan siapa yang berjaya mencuri mata pastinya mempunyai peluang cerah untuk mara.
Berdepan dengan Switzerland di perlawanan pertama, Cameroon mesti menang sebelum berdepan cabaran lebih sukar bertemu Brazil dan Serbia.
Jika berjaya diharungi, baru kita boleh sembang sama ada apa yang Eto’o katakan itu berasas atau tidak.
Semoga berjaya, Cameroon.