England memulakan kempen Qatar 2022 mereka dengan penuh bergaya apabila mudah membenam Iran 6-2 dalam aksi perlawanan pembukaan saingan kumpulan B di Khalifa International Stadium.
Dua gol jaringan Bukayo Saka satu dari Jude Bellingham, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan Jack Grealish sudah cukup untuk mengesahkan kenduri gol England menewaskan Iran.
Iran dilihat berjaya mempamerkan disiplin bertahan yang tinggi untuk tempoh 30 minit pertama perlawanan, dengan organisasi bertahan mereka yang disusun secara ‘mid-blocks’ 5-4-1 berjaya mengekang ancaman serangan pasukan lawan.
Namun, terdapat beberapa elemen taktikal yang digunakan oleh pasukan England dalam memecah kebuntuan, sekaligus memulakan pesta jaringan pasukan The Three Lions tersebut.
Analisis kami akan merungkai segalanya.
1. Pengedaran bola (ball circulations)
Bagi memecahkan blok pertahanan kompak Iran, pemain-pemain England aktif melakukan edaran bola menerusi variasi hantaran bagi mengalihkan kedudukan mereka dari posisi bertahan.
Taktikal ini turut membantu pasukan England dalam mencari sebarang bukaan ruang yang tercipta di antara pemain pertaahanan Iran, sekali gus membolehkan hantaran tembusan (penetration passes) dilakukan bagi memasuki kawasan serangan dan mencipta gerakan serangan berbahaya.
Menerusi gambar di atas, England berjaya memasuki kawasan ‘attacking thirds’, namun situasi serta ruang yang terhad mendorong Luke Shaw melakukan hantaran ke belakang kepada Harry Maguire bagi memulakan semula gerakan serangan pasukan.
Iran kembali menyusun blok pertahanan mereka secara ‘mid-blocks’ 5-4-1 bagi melindungi ruang serta menghalang pasukan England dari menembusi kubu pertahanan mereka.
Maguire melakukan hantaran susulan kepada John Stones untuk menggerakkan pemain-pemain Iran dalam usaha mengeluarkan mereka dari posisi bertahan mereka.
Stones mengembalikan semula hantaran kepada Maguire dan di sini kita dapat perhatikan terdapat beberapa pergerakan yang dilakukan oleh pemain-pemain Iran sebagai refleksi kepada ‘ball circulations’ yang dilakukan oleh England.
Gerakan inilah yang mendorong kepada kemusnahan blok pertahanan Iran, di mana terdapat bukaan ruang yang tercipta antara pemain mereka yang membolehkan England melakukan hantaran tembusan yang akan kami jelaskan dengan lebih lanjut.
Qatar 2022: Maruah Asia Tercalar Teruk, England ‘Tibai’ Iran 6-2
2. Gerakan pukau (decoy movements)
Pemain England turut menggunakan konsep ‘decoy movements’ bagi membolehkan mereka menarik keluar pemain lawan untuk keluar dari posisi asal mereka, sekali gus membolehkan rakan sepasukan memperoleh ruang serta membuka lorong-lorong hantaran (passing lanes).
Menerusi gambar di atas, Sterling melakukan ‘decoy movements’ bagi menarik keluar pemain lawan bersamanya.
Ini sekali gus membuka ruang serta lorong hantaran yang boleh dimanipulasi oleh rakan sepasukan yang lain.
3. Manipulasi garisan pertahanan kedua lawan
Pemain England khususnya Mason Mount aktif beroperasi di bahagian ‘space in between the lines’, sekali gus membolehkan England melancarkan lagi pergerakan bola ke kawasan pertahanan lawan.
Lorong hantaran terbuka yang terhasil menerusi ‘decoy movements’ membolehkan Maguire melakukan hantaran tembusan kepada Mount.
Menerusi gambar di atas, Mount berada di kawasan ‘space in between the lines’ untuk menerima hantaran tersebut dengan lebih efektif.
Manipulasi garisan tekanan kedua oleh Mount membolehkan dirinya melakukan kombinasi permainan bersama Sterling dengan lebih mudah ekoran tekanan pemain lawan yang lemah.
Bellingham pada waktu ini telah memulakan larian beliau, dan di sini kita akan perhatikan satu lagi elemen taktikal yang dikenali sebagai ‘timing of run’.
4. Jangkaan masa larian (timing of run)
Elemen taktikal ini dilakukan oleh Bellingham apabila beliau bijak melakukan jangkaan masa lariannya untuk menterjemahkan peluang kepada jaringan gol.
Ketika Shaw bersedia untuk melakukan hantaran silang, Bellingham tidak gopoh untuk berada di dalam kawasan penalti pasukan lawan.
Sebaliknya, beliau menunggu masa yang sesuai untuk menyerang bukaan ruang di antara pemain pertahanan Iran.
Ia sekali gus membolehkan England menjaringkan gol pendahuluan dalam perlawanan ini.
Kemenangan ini membolehkan England memulakan kempen Qatar 2022 mereka dengan sangat cemerlang sehingga merancakkan lagi keyakinan penyokong The Three Lions yang percaya yang ‘football is coming home’.
Tapi adakah bola sepak akan benar-benar pulang? Kita tungguh je lah.