Qatar 2022: Maruah Asia Tercalar Teruk, England ‘Tibai’ Iran 6-2

Skuad kebangsaan England turun berdepan Iran dalam aksi perlawanan pembukaan saingan peringkat kumpulan B di Khalifa International Stadium malam ini.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu menepati ramalan awal selepas mereka terlalu mudah menewaskan Iran 6-2 dalam perlawanan ini.

Aksi England bertemu Iran merupakan perlawanan kedua pada edisi kali ini selepas semalam pasukan tuan rumah, Qatar tewas 2-0 di tangan Ecuador dalam aksi perlawanan pembukaan kejohanan pada tahun ini.

Dua gol jaringan Bukayo Saka satu gol jaringan Jude Bellingham, Raheem Sterling, Marcus Rashford dan Jack Grealish sudah cukup untuk mengesahkan kenduri gol England menewaskan Iran.

Mehdi Taremi sementara itu berjaya meledak dua gol walau skuadnya dibelasah teruk dalam perlawanan ini.

England bermula dengan agak perlahan dan mereka berjaya menemui rentak persembahan terbaik mereka pada hujung-hujung aksi babak pertama permainan.

England 6-2 Iran 

Lima minit pertama permainan dilihat sangat seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha mereka mencari gol awal.

Perlawanan kemudiannya terpaksa dihentikan seketika selepas penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand mengalami kecederaan selepas beliau terlibat dalam satu insiden pelanggaran bersama rakan sepasukannya.

Kecederaan beliau sepertinya agak parah dengan darah dilihat tak henti-henti mengalir dari hidung penjaga gol utama Iran itu.

Alireza pada awalnya mahu meneruskan permainan namun beliau akhirnya mengalah dan meminta agar dirinya dikeluarkan kerana kecederaan hidung yang beliau hadapi.

Jude Bellingham membuka tirai jaringan untuk skuad England selepas bola tandukan padu beliau berjaya menewaskan penjaga gol Iran.

Bellingham cemerlang menanduk masuk bola umpanan dari Luke Shaw untuk membantu England mendahului permainan 1-0.

Pada minit ke-42 permainan, England berjaya menggandakan kedudukan menerusi Bukayo Saka yang melepaskan rembatan luar biasa padu dari dalam kotak penalti.

Harry Maguire menanduk bola sepakan penjuru yang diambil oleh Luke Shaw dengan bola tandukan beliau jatuh betul-betul di hadapan Bukayo Saka.

Saka kemudiannya tidak menunggu lama dengan beliau terus melepaskan rembatan padu untuk menewaskan penjaga gol Iran.

England berjaya mendapatkan gol ketiga mereka dalam perlawanan ini pada aksi tambahan masa sebelum tamat babak pertama permainan.

Raheem Sterling cemerlang meledak gol pertama peribadinya dalam perlawanan ini selepas beliau memanfaatkan bola umpanan cantik dari Harry Kane.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan 3-0 dan jelas sekali skuad kendalian Gareth Southgate itu membawa bekalan selesa untuk turun pada aksi babak kedua permainan.

Bukayo Saka meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini pada minit ke-62 permainan untuk membantu England mendahului 4-0.

Iran kemudiannya berjaya memperoleh gol pertama mereka dalam perlawanan ini menerusi Mehdi Taremi pada minit ke-65 permainan.

Pemain gantian England, Marcus Rashford berjaya meledak gol kelima untuk skuad kebangsaan England selepas hanya satu minit sahaja beliau beraksi di atas padang.

Pada minit ke-88 permainan, England berjaya memperoleh gol keenam mereka hasil jaringan seorang lagi pemain gantian, Jack Grealish.

Iran telah dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan permainan dan Mehdi Taremi mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk gol kedua peribadi dan negaranya.

England memulakan kempen Piala Dunia mereka pada tahun ini dengan sangat cemerlang dan melihat bagaimana mereka membelasah Iran pada malam ini, jelas sekali para penyokong sudah mengimpikan untuk melihat Piala teragung dalam dunia bola sepak itu kembali ke bumi Inggeris pada tahun ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN