Bekas penyerang kebangsaan, Khyril Muhymeen memberi bayangan bakal bersara pada musim hadapan selaku pemain bola sepak profesional musim hadapan.
Penyerang kelahiran Kedah itu telah pun berkecimpung dalam arena bola sepak negara selama 17 tahun dan kelibat beliau mungkin lagi tidak dapat dilihat pada tahun hadapan.
#kualalumpur #bolatime Selepas 17 tahun beraksi, penyerang Petaling Jaya City (PJ City) Khyril Muhymeen Zambri mempertimbangkan kemungkinan menggantung 'but' berikutan pasukannya secara rasmi tidak lagi bersaing dalam Liga Super musim depan. https://t.co/LrSCdX9uO8
— Harian Metro (@hmetromy) November 13, 2022
Khyril membuat kenyataan berkenaan selepas pasukan diwakilinya kini, Petaling Jaya City (PJ City) sah tidak akan bertanding dalam saingan Liga Super musim hadapan ekoran beberapa sebab.
Pemain tersebut akui dirinya sangat kecewa dengan keputusan yang diambil kelab itu dan menjelaskan para pemain telah pun mengetahui isu berkenaan sejak perlawanan terakhir dihadapi PJ City.
Disebabkan itu, para pemain berpeluang dan mempunyai masa untuk mencari pasukan baharu bagi meneruskan karier mereka pada musim hadapan.
Menurut bekas pemain kebangsaan itu, beliau kini hanya mahu berehat sambil menunggu jika ada tawaran daripada mana-mana pasukan lain untuk saingan musim hadapan.
Jika tidak, Khyril berkemungkinan akan bersara sebagai pemain bola sepak profesional serta memberi tumpuan kepada bidang tertentu pada masa akan datang.
“Ketika ini saya belum lagi memikirkan pasukan yang akan beraksi pada musim depan malah tidak menerima apa-apa tawaran secara rasmi daripada kelab lain.
“Saya tengok pada keadaan dengan kemungkinan akan bersara sebagai pemain profesional seterusnya berkecimpung dalam bidang lain.
“Satu perkara yang penyokong bola sepak perlu tahu adalah sepanjang saya beraksi dengan PJ City tidak pernah mengalami masalah tunggakan gaji.
“Malah, pemain tempatan diberikan peluang dan ruang untuk beraksi dalam pasukan kerana tidak mempunyai awang import yang mendominasi barisan utama,”katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Untuk rekod, Khyril merupakan pemain yang berkebolehan untuk beraksi di mana-mana posisi serangan termasuk selaku penyerang utama.
83' GOL | Khyril Muhymeen menyamakan kedudukan!@pjcityfc 3-3 @kda_fc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/boe4wd1fXe
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 10, 2022
Kelebihan pemain ini terarah kepada kelincahan dirinya di hadapan gawang gol, serta memiliki kepakaran meledak gol menerusi situasi sepakan percuma.
Walaupun telah mencecah usia 35 tahun, Khyril masih lagi dilihat relevan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), setelah konsistensi dipamerkan beliau ketika mewakili PJ City beberapa musim ini.