Raja sepakan percuma dari Jepun, Shunsuke Nakamura kini secara rasminya telah menggantung kasut bola sepaknya dan bersara pada usia 44 tahun.
Pemain yang pernah mencipta sensasi bersama-sama Celtic satu masa dahulu, kini meninggalkan bola sepak dengan menjadikan Yokohama FC yang beraksi di J2 League sebagai kelab terakhirnya.
Menurut Nakamura di laman Instagramnya, beliau telah mengharungi 26 tahun yang cukup gemilang sebagai pemain bola sepak dengan pelbagai naik turun.
Namun beliau sentiasa bersyukur kerana sentiasa ada pihak yang menyokongnya.
“40 tahun lalu, saya mula bermain bola sepak dengan niat untuk berseronok. Ia kemudiannya bertukar menjadi kerjaya dan saya menghabiskan 26 tahu sebagai pemain profesional.
“Sepanjang karier bola sepak saya yang panjang, banyak kesukaran dan kesusahan, tetapi saya sentiasa ada pihak yang akan menyokong saya,” kata Nakamura.
Nakamura adalah legenda bola sepak moden Jepun yang beraksi di pelbagai kelab di Eropah seperti Reggina, Celtic dan Espanyol.
Namun, masanya di Celtic adalah detik kemuncak kariernya apabila menjaringkan pelbagai gol hebat seperti menjaringkan dua sepakan percuma dalam dua pertemuan menentang Manchester United di UEFA Champions League.
Bersama-sama skuad kebangsaan Jepun pula, Nakamura cemerlang membantu negaranya memenangi Piala Asia pada 2000 dan 2004
Beliau turut mewakili Jepun dalam saingan Piala Dunia sebanyak dua kali pada 2006 dan 2010.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakan sepasukan, para jurulatih, dan juga doktor yang merawat dan menjaga kecederaan saya. Semua pihak yang bekerja di kelab, dan semua penyokong yang sentiasa menggembirakan saya.
“Terlalu banyak sokongan yang saya simpan dalam perjuangan menjadi pemain bola sepak sehingga kini. Terima kasih tak terhingga untuk semua sokongan anda selama 26 tahun ini,” ujar Nakamura.