Aidil Sharin Dikaitkan Dengan Penang, Ini Seorang Lagi Pengendali Yang Dikaitkan Selainnya

Aidil-Sharin-Kedah-2022-Penang

Sebaik sahaja meninggalkan Kedah Darul Aman, Aidil Sharin Sahak secara tiba-tiba dikaitkan akan menyertai Penang FC untuk saingan musim 2023.

Begitupun, ini hanyalah khabar angin yang sedang bertiup di sekitar utara tanah air dan telah dikongsikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaren.

Namun, segalanya berkemungkinan dek kerana skuad Harimau Kumbang juga sedang mencari pengemudi pasukan untuk saingan musim hadapan.

Ini berlaku selepas Dato’ Zainal Abidin Hassan dan Penang FC bersetuju menyerahkan pengendalian pasukan kepada penolongnya, Manzoor Azwira.

Manzoor Azwira ke skuad simpanan Kedah?

Walaupun belum ada pengesahan daripada mana-mana pihak, berdasarkan perkongsian awal pengurusan pasukan, pengendali sementara, Manzoor Azwira difahamkan tidak akan bersama pasukan pada musim 2023 kerana akan dipinjamkan ke skuad simpanan Kedah untuk tempoh semusim.

Dikhabarkan beliau akan kembali ke pangkuan pasukan pada musim 2024 sebagai pengendali selepas melengkapkan kursus lesen Diploma Pro A.

Begitupun, makluman tersebut ditukarkan tidak lama kemudian dengan tiada lagi kenyataan tentang status Manzoor untuk musim hadapan.

Siaran media Penang FC
Perubahan kenyataan media Penang FC status Manzoor Azwira

Adakah terdapat perubahan perancangan oleh pengurusan Penang? Ini tidak dapat dipastikan kerana tiada makluman tambahan selain hanya mengubah kenyataan media yang dilakukan di laman Facebook rasmi.

Jika benar Manzoor perlu berada di Kedah untuk melengkapkan kursus kejurulatihannya pada musim depan, siapa pula akan mengambil alih teraju untuk musim 2023 sebelum beliau kembali semula pada musim 2024?

Siapa calon lain yang dikaitkan dengan Penang?

Sulaiman Hussin merupakan antara pengendali yang dikaitkan dengan kerusi panas Penang musim depan. Ia berikutan satu perkongsian oleh laman Facebook penyokong, Penang Brotherhood, beberapa hari lalu.

Mungkin ia hanya khabar angin oleh laman Facebook penyokong, namun, ia sama sekali tidak boleh ditolak sepenuhnya. Ini kerana, mereka tentunya mendengar daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai. Jika tidak, bagaimana nama pengendali yang kurang popular seperti Sulaiman terkait?

Walaupun ia seakan-akan ‘indirect posting’ dengan mengaitkan sebuah kedai nasi kandar popular di Pulau Pinang sebagai tajuk posting, namun komen-komen penyokong seperti mengiyakan tentang status Sulaiman.

Beliau adalah bekas pengendali UKM FC yang kini bertindak sebagai penolong kepada Irfan Bakti di Kuching City FC. Kejayaannya adalah membawa skuad Varsity Boys menjadi finalis Challenge Cup dua edisi berturut-turut iaitu pada musim 2018 (tewas kepada TFC II) dan 2019 (tewas kepada JDT II). Oleh itu, kredibilitinya juga tidak boleh diketepikan.

Melihat kepada potensi, Sulaiman Hussin tampak mungkin memiliki peluang lebih baik walaupun Aidil Sharin memiliki rekod yang hebat.

Ini kerana, jika benar Manzoor Azwira akan kembali ke pangkuan Penang, apa pula akan jadi kepada Aidil – seorang pengendali yang lebih hebat CV-nya? Mahukah beliau memberi ruang kepada Manzoor pula? Berbanding Sulaiman, pengendali itu mungkin lebih senang untuk dibawa berbincang.

Seperti mana Zainal yang akhirnya memberi peluang buat pengendali berusia 45 tahun itu untuk mengemudi Penang di Piala Malaysia.

Lagi pula, bercakap kepada Semuanya BOLA sebelum ini, difahamkan, jika tiada lagi jodoh bersama Kedah, Aidil akan pulang ke Singapura dan dengan kredibiliti yang dimilikinya, mungkin tiada masalah untuknya dipikat kelab-kelab yang bersaing di Singapore Premier League (SPL) selepas ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN