3 Fakta Menarik Selepas Kejayaan Liverpool Tewaskan Man City Di Anfield

Liverpool berjaya mengakhiri rekod tanpa kalah Manchester City dalam saingan Premier League selepas kejayaan mereka menewaskan skuad kendalian Pep Guardiola itu 1-0 di Anfield malam semalam.

The Reds telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan bertemu Man City dan mereka sememangnya berhak untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Mohamed Salah mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini, seterusnya membantu pasukan tuan rumah mengelak dari terus mencatatkan keputusan buruk dalam saingan liga.

Liverpool pada musim ini jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka dan ramai yang percaya skuad kendalian Jurgen Klopp itu sedang melalui musim terburuk mereka di bawah pimpinan pengurus dari Jerman itu.

Menjelang aksi di Anfield malam semalam, ramai yang percaya Manchester City akan mudah menewaskan Liverpool, seterusnya memintas Arsenal di puncak saingan liga.

Walau bagaimanapun, Liverpool berjaya membuktikan yang mereka masih pasukan gergasi di pentas bola sepak Inggeris dengan menewaskan Manchester City di Anfield.

Terdapat pelbagai fakta menarik sebalik kejayaan Liverpool menewaskan Man City malam semalam, dan harus diakui skuad The Reds kini sepertinya sudah kembali mendapatkan tahap persembahan terbaik mereka.

1)  Mohamed Salah kembali menemui sentuhan berbisanya

Ramai pihak yang merasakan Mo Salah pada musim ini tidak akan mampu mengekalkan tahap persembahan seperti yang beliau tunjukkan sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Salah bagaimanapun berjaya membuktikan yang beliau masih lagi seorang pemain penyerang yang perlu diberi perhatian dan masih lagi memiliki sentuhan penyudah yang menakjubkan.

Tidak seperti musim-musim sebelum ini, Salah pada musim ini bermula dengan agak perlahan dan tidak berada di kedudukan lima teratas dalam senarai penjaring terbanyak Premier League setakat ini.

Ketika ramai yang mengkritik persembahan beliau sepanjang musim ini, Salah akhirnya kembali membuktikan yang beliau masih lagi penjaring gol terbaik Liverpool.

Bintang kebangsaan Mesir itu cemerlang mencatatkan hat-trick ketika beraksi bertemu Rangers dalam saingan Champions League kemarin.

Beliau berjaya mengekalkan tahap persembahan terbaiknya ketika bertemu Man City dengan Salah kerap melancarkan serangan merbahaya ke kubu The Citizens.

Selepas melancarkan beberapa serangan, Salah akhirnya berjaya meledak gol, seterusnya membantu Liverpool mengutip tiga mata berharga dari perlawanan ini.

2) Van Dijk kekal kebal di Anfield

Sejak menyertai Liverpool pada 2018 yang lalu, Virgil Van Dijk sebenarnya masih tidak pernah merasakan kekalahan ketika beraksi di Anfield.

Ya, Van Dijk tak pernah kalah di Anfield selepas beraksi sebanyak 6  perlawanan dengan bintang Belanda itu cemerlang membantu Liverpool mencatatkan 58 kemenangan dan 11 seri ketika mereka beraksi di halaman sendiri.

Musim ini ramai yang percaya bahawa Van Dijk sudah tidak akan mampu lagi untuk mempamerkan tahap persembahan yang sama hebat seperti apa pernah beliau pamerkan sebelum ini.

Menjelang aksi bertemu Manchester City semalam, ramai yang percaya rekod tanpa kalah beliau di Anfield bakal dileburkan oleh seteru utama mereka itu.

Walau bagaimanapun, Van Dijk cemerlang mempamerkan aksi persembahan terbaiknya dalam perlawanan tersebut, dan mengekalkan rekod tanpa kalah beliau di Anfield.

Gandingan beliau bersama Joe Gomes juga harus diakui sungguh luar biasa menakjubkan dan andai mereka mampu konsisten, Liverpool sepertinya akan kembali beri saingan untuk setidak-tidaknya merebut kedudukan empat teratas.

3) Alisson Becker sekali lagi menyumbang gol untuk Liverpool

Alisson Becker sudah berjaya untuk mencatatkan empat assists dan menjaringkan satu gol untuk Liverpool sejak awal kariernya di Anfield.

Apa yang lebih menariknya lagi, beliau berjaya melibatkan diri dengan gol Liverpool pada setiap musim sejak empat musim terakhir ini.

Tidak ada mana-mana penjaga gol dalam sejarah saingan Premier League yang mampu untuk melakukan hal tersebut sama seperti apa yang dilakukan oleh bekas penjaga gol AS Roma itu.

Tiga dari empat assists yang berjaya dicatatkan oleh bintang Brazil itu merupakan assists kepada gol yang dijaringkan oleh Mo Salah.

Selain kebal dalam menjaga gawangnya dari dibolosi, Alisson Becker juga turut cemerlang membuktikan yang beliau mampu untuk membantu jentera serangan.

Statistik yang beliau catatakan dalam membantu jentera serangan Liverpool sebenarnya lebih bagus berbanding beberapa pemain midfield dan pertahanan lain yang ada dalam saingan Premier League.

Walau Liverpool sedang tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka pada ketika ini, namun harus diakui yang Alisson sering konsisten mempamerkan aksi terbaiknya untuk The Reds.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN