Adakah Perak FC bakal menjadi lokasi ‘reunion’ bekas anak-anak didik Lim Teong Kim, graduan-graduan AMD untuk saingan Liga Super musim depan?
Potensi yang tidak boleh kita nafikan sepenuhnya. Ia boleh direalisasikan kerana auranya sebagai bekas pengendali mereka ketika mereka di AMD.
Pemain yang sudah membina tapak bersama pasukan di Liga Super tentunya tidak akan berminat seperti Arif Aiman Hanapi yang sudah berjaya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT). Malah, jika benar kenyataannya tempohari, Arif sesekali tidak akan pergi ke pangkuan Teong Kim.
Namun, tidak semuanya akan menolak jika dipelawa oleh pengendali itu.
Baddrol Bakhtiar ‘Semakin Hampir’ Tinggalkan Kedah, ‘Reunion Ex-Kim Swee’ Akan Berlaku Di Sabah?https://t.co/N2Vs42FDyF
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 24, 2021
Masih ingat bagaimana pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berhasil untuk ‘memujuk’ ramai bekas anak didiknya untuk ‘terbang’ ke Sabah? Antara yang pada awalnya kita rasakan mustahil untuk pergi akhirnya telah menyertainya di sana seperti Khairul Fahmi Che Mat dan Baddrol Bakhtiar.
Dan Sabah menjadi pasukan yang disegani dalam saingan Liga M saat ini.
Sudah tentu Teong Kim ketika ini sedang tekun meniliti semula data-data lama bekas anak-anak didiknya untuk dipertimbangkan. Rata-rata mereka sudah berusia 20 tahun dan bersedia untuk cabaran besar dalam karier.
Jadi, jika dipelawa, siapa yang akan ‘angkat kaki’ menyertainya di ‘The Bos Gaurus’? Ini adalah pemain-pemain yang berpotensi untuk direkrut Perak.
Situasi Di Melaka United Menguatkan Khabar Harith Naem Bakal Ke Perak?
Harith Naem Jaineh (Melaka United)
Pemain paling hangat dikaitkan dengan Perak ketika ini berpunca daripada video ‘teaser’ tentang pemain baharu mereka. Harith Naem mungkin akan menjadi pemain pertama untuk bersama Teong Kim disebabkan masalah dalaman yang sedang kuat membadai pasukan tersebut pada ketika ini.
Bermula dengan masalah tunggakan gaji, pemain import hanya tinggal Ifedayo Olusegun, prestasi yang kian menjunam, dinafikan slot untuk saingan Piala Malaysia 2022 dan berpotensi untuk tidak bersaing di kempen Liga Super musim depan. Adakah Harith masih berminat untuk terus setia?
Jika dilihat berdasarkan susuk tubuh pemain yang telah ditampilkan dalam video tersebut itu, nampak seakan-akan benar Harith adalah pemainnya.
Sikh Izhan Nazrel (Selangor FC)
Penjaga gol berpotensi besar ini pernah dihantar berlatih di Sepanyol bersama CF Fuenlabrada di divisyen dua Sepanyol. Namun, di Selangor potensinya untuk menjadi tulang belakang pasukan dilihat sukar dengan adanya pemain seperti Sam Somerville dan Khairulazhan Khalid.
Berpeluang untuk lebih dekat dengan kampung halamannya di Pulau Pinang, Sikh Izhan mungkin akan mempertimbangkannya jika dipelawa.
Seperti yang kita tahu, posisi nombor satu di Perak masih belum menjadi milik sesiapa sepenuhnya dan Sikh Izhan dilihat mudah untuk meraihnya.
Beliau adalah penjaga gol kegemaran Teong Kim dan sentiasa dibawa sama ada ke Eropah serta saingan AFC Championship 2018 dan Kejuaraan AFF pada tahun yang sama. Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan di AFC Championship dan muncul pemenang pingat gangsa di Piala AFF.
Danial Amali (Skuad Piala Presiden KL City)
Beliau adalah penyerang lebih terlebih dahulu menyerlah bersama skuad kendalian Teong Kim tetapi seperti telah hilang di pentas tertinggi Liga M.
Susuk tubuhnya yang tegap dan tinggi berbanding rakan-rakan sepasukan ketika berusia 13 tahun menjadikannya perhatian dan pilihan utama untuk menggerakkan jentera serangan skuad muda negara pada ketika itu.
Walaupun pernah muncul sebagai penyerang digeruni di usia 13 tahun bersama Luqman Hakim, namun perjalanan kariernya ke usia remaja telah merubah posisinya ke pertahanan bersama skuad Piala Presiden KL City.
Sehingga kini, beliau masih tidak membuat kemunculan bersama skuad Liga Super ‘The City Boys’ menjadikan mungkin Teong Kim berminat untuk memintanya berhijrah ke ‘The Bos Gaurus’. Ada yang masih ingat dirinya?