Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat terus ingin melebarkan nama mereka dalam pelbagai sukan dalam negara dengan terbaharu bakal membentuk pasukan futsal untuk bersaing pada musim hadapan.
Perkara ini disahkan sendiri menerusi laman Facebook rasmi mereka semalam setelah pembentukan tersebut bakal dibuat bagi musim 2023.
JDT FUTSAL TO BE ESTABLISHED IN 2023
Johor Darul Ta'zim FC (JDT) will form a futsal team for 2023. A futsal department will be established at JDT with dedicated technical staff and players to ensure the Southern Tigers' futsal is at a high standard. Luaskan Kuasamu Johor. pic.twitter.com/zF6LQw3YYc
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) October 3, 2022
Menurut Johor Southern Tigers (JST), pembentukan yang bakal dibuat pada tahun hadapan itu juga bakal mewujudkan satu jabatan khas yang terdiri daripada kakitangan teknikal serta para pemain tersendiri.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membentuk satu pasukan futsal pada tahun 2023.
“Satu jabatan futsal akan ditubuhkan di JDT terdiri dari kakitangan teknikal dan para pemain khusus bagi memastikan futsal Harimau Selatan berada pada tahap yang tertinggi. Luaskan Kuasamu Johor,” jelas kenyataan tersebut di Facebook.
Menerusi persiapan yang bakal dibuat pada tahun hadapan, JDT dilihat menambahkan lagi kemeriahan suasana futsal dalam negara untuk memberi saingan buat pasukan-pasukan lain.
Setelah cemerlang dalam saingan bola sepak tempatan dan semakin kukuh nama mereka di pentas Asia, kini cabaran baharu bakal diterjemahkan pula dalam aksi futsal untuk terus menaikkan nama JDT dalam sukan tersebut pada masa akan datang.
Untuk saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim ini, Selangor MAC tampil selaku juara setelah mengetepikan cabaran sengit daripada Pahang Rangers.
Malah, Selangor MAC juga tampil dengan rekod yang sangat memberansangkan tahun ini dalam saingan AFF Futsal Cup 2022 di Thailand, setelah menjadi pasukan ketiga terbaik dalam saingan tersebut.
AFF FUTSAL CUP 2022 | 🥉3/4 Place :
FT: Selangor MAC 🇲🇾 2-2 (pen: 8-7) 🇻🇳 Sahako FC
Congratulations Selangor MAC on 3rd place !#AFF #AFFFutsalCup2022 pic.twitter.com/AP9esbOOUl
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) September 10, 2022
Selain itu, Selangor TOT United juga tidak kurang hebat di pentas antarabangsa, apabila pasukan tersebut juga muncul selaku salah satu daripada tiga pasukan terbaik dalam saingan MNC International Futsal Cup 2022 di Indonesia.
Kehadiran JDT pada musim hadapan bakal memberi amaran baharu buat pasukan seperti Selangor MAC dan Pahang Rangers untuk tampil lebih bersedia berdepan kelab tersebut.
Menerusi persediaan yang bakal dilakukan oleh JDT, jelas pasukan ini pastinya sangat serius untuk mengembangkan lagi jenama mereka dan mahu menjadi salah satu gergasi baharu dalam saingan futsal di peringkat domestik sebelum mencabar di saingan antarabangsa.