Penang akhirnya berjaya tamatkan musim kemarau tanpa kemenangan mereka apabila berjaya membenam cabaran Kuala Lumpur City (KL City) dengan keputusan 1-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Kemenangan tersebut menyaksikan tuan rumah berjaya mendapatkan tiga mata penting untuk mereka terus menghidupkan peluang beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
KEPUTUSAN MASA PENUH – LS19
Penang FC mencatat kemenangan kedua musim ini.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/WYrW0nMIJQ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 24, 2022
Jaringan tunggal daripada kapten pasukan, Lucas Espindola berjaya membawa keceriaan buat Penang setelah mereka sudah terlalu lama tidak merasainya.
Buat KL City, ini merupakan satu kejutan dan jelas membawa kekecewaan apabila gagal untuk memperoleh walau satu mata dan banyak peluang terhidang disia-siakan sepanjang aksi berlangsung.
Pada awal perlawanan, kedua pasukan dilihat seimbang dalam menyusun pergerakan dengan intensiti permainan agak perlahan dipamerkan.
Baik Penang atau KL City, dua pasukan ini tidak begitu memberi ancaman di bahagian serangan dengan setiap peluang dicipta tidak berjaya disudahkan dalam bentuk percubaan lebih berbahaya.
Lucas Espindola hampir membuka jaringan awal buat Penang apabila penyerang import tersebut mendapat umpanan cantik daripada Endrick dos Santos sebelum rembatan dilepaskan sedikit tersasar pada minit ke-8.
Selepas 20 minit berlangsung, permainan mula menjadi semakin rancak apabila kedua pasukan mula melancarkan siri serangan berbahaya untuk mendapatkan jaringan awal perlawanan.
Namun tiada satu gol dapat diterjemahkan apabila masing-masing dilihat sedikit tumpul selain kedua barisan pertahanan jelas menampilkan aksi berdisiplin.
Bersambung di separuh masa kedua, Penang masih lagi gagal untuk mendapatkan sebarang jaringan biarpun berkelebihan beraksi di halaman sendiri.
Walaupun ada beberapa perubahan dibuat oleh kedua pasukan, rentak permainan setakat ini masih lagi sama selain banyak peluang dipersiakan untuk mendapatkan jaringan.
Penang akhirnya berjaya mendapatkan gol menerusi Lucas Espindola pada minit ke-78 setelah perlawanan dijangka bakal terikat seri tanpa jaringan.
79' GOL | Lucas Silva memecahkan kebuntuan di Stadium Bandaraya!@Penang_FC 1-0 @KLCityFootball #LigaSuper2022 pic.twitter.com/MtmO8Lj9Iq
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 24, 2022
Menerusi satu hantaran lintang daripada Rafiuddin Roddin ke dalam kotak penalti, penyerang import tersebut mudah menanduk terus ke dalam gawang gol walaupun ada halangan cuba dibuat oleh pertahanan pelawat.
Keputusan perlawanan kekal dengan kemenangan akhirnya berpihak buat Penang untuk kali kedua musim ini dalam saingan Liga Super setelah menewaskan KL City dengan jaringan tunggal diledak oleh Lucas Espindola.
Kesebelasan utama
Penang: Khatul Anuar (Penjaga gol), Jafri Firdaus Chew, Khairul Akmal, Rafael Vitor, Rafiuddin Roddin, Azzizan Nordin, Faiz Mazlan, Adib Raop, Endrick dos Santos, Azim Rahim, Lucas Espindola (Kapten)
Kuala Lumpur City (KL City): Kevin Ray Mendoza (Penjaga gol), Giancarlo Gallifuoco, Muhammad Faudzi, Irfan Zakaria, Kamal Azizi, Akram Mahinan, Ryan Lambert, Paulo Josue (Kapten), Hadin Azman, Partiban Janasekaran, Jordan Mintah